Lebih 20,000 pelajar nikmati pembiayaan pendidikan TNB

Lebih 20,000 pelajar nikmati pembiayaan pendidikan TNB

HASAN Arifin menyampaikan surat tawaran tajaan pembiayaan pendidikan TNB kepada seorang pelajar di UNITEN Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Bandar Muadzam Shah, Pahang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 20,000 pelajar mendapat manfaat meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi melalui pelbagai pembiayaan pendidikan Tenaga Nasional Berhad (TNB), berjumlah lebih RM1.7 bilion sepanjang 20 tahun lalu sejak penubuhan Yayasan Tenaga Nasional (YTN) pada 1993.

Pembiayaan itu dalam bentuk biasiswa dan dermasiswa melalui TNB Prime Scholarship, TNB Shine Sponsorship, Dermasiswa My Brighter Future (MyBF) dan terbaharu, Biasiswa Khas TNB untuk anak-anak Orang Asli.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin menegaskan, TNB komited menyokong usaha kerajaan membantu rakyat melalui pelbagai inisiatif, terutama membangunkan potensi generasi muda menerusi peluang pendidikan berkualiti.

“Penajaan pendidikan ini adalah peluang keemasan bagi penerimanya menekuni disiplin ilmu di institusi pengajian tinggi di samping membangunkan potensi diri, di mana manfaatnya bukan sahaja dinikmati oleh diri sendiri tetapi turut dirasai oleh ahli keluarga pelajar,” katanya.

Beliau berucap di Majlis Penyampaian Anugerah Tajaan Pendidikan YTN bagi pelajar UNITEN Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Bandar Muadzam Shah, Pahang, baru-baru ini.

Pada tahun ini, seramai 470 pelajar menikmati pembiayaan meliputi 60 penerima TNB Prime Scholarship, TNB Shine Sponsorship (30) dan Biasiswa Khas TNB (10).

Seramai 370 lagi adalah penerima MyBF dalam kalangan golongan berpendapatan rendah B40.

Ketika ini, lebih 6,200 pelajar tajaan YTN sedang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi dengan biaya sebanyak RM100 juta merangkumi yuran pendaftaran, yuran pengajian, elaun sara hidup bulanan dan elaun komputer.

Menurut Hasan, adalah menjadi hasrat TNB untuk memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan komuniti dan peluang pendidikan terbaik kepada rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah selari dengan inisiatif Peralihan Tenaga TNB yang berteraskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Pada tahun ini, TNB melalui YTN menawarkan biasiswa kepada anak-anak Orang Asli untuk mengikuti pengajian peringkat diploma dalam bidang perakaunan dan pengajian bisnes di UNITEN Muadzam Shah.

“Saya percaya jika diberi peluang penajaan di samping dibimbing oleh tenaga pengajar yang berkualiti, anak-anak ini mampu untuk berjaya, seterusnya membina kehidupan lebih baik untuk keluarga dan masyarakat keseluruhan,” katanya.

YTN menerima lebih 10,800 permohonan daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini untuk biasiswa TNB Prime Scholarship dan TNB Shine Sponsorship. Pemilihan berdasarkan kecemerlangan akademik, kepimpinan dan penglibatan aktif dalam kokurikulum.

Bagi Biasiswa Khas TNB, YTN bekerjasama dengan UNITEN dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) untuk mengenal pasti para pelajar yang cemerlang.

Selain pembiayaan kewangan, YTN turut menyediakan program-program pembangunan untuk pelajar tajaan dengan hasrat membangunkan potensi mereka dari sudut kemahiran insaniah dan kepimpinan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×