Jumlah dagangan Malaysia lepasi RM2 trilion, naik 32.9%

Jumlah dagangan Malaysia lepasi RM2 trilion, naik 32.9%

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah perdagangan Malaysia melepasi RM2 trilion dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, pe­ningkatan 32.9 peratus berban­ding tempoh sama tahun lalu.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, pertumbuhan disokong oleh peningkatan eksport sebanyak 30.3 peratus dan import 36.2 peratus.

Jelasnya, eksport pada September 2022 mencatatkan pertumbuhan sebanyak 30.1 pe­ratus daripada RM110.9 bilion pada September 2021 kepada RM144.3 bilion.

“Pertumbuhan ini sejajar dengan peningkatan eksport domestik dan eksport semula. Eksport domestik berjumlah RM110.5 bilion (76.6 peratus daripada jumlah eksport), me­ningkat 25.9 peratus tahun ke tahun. Sementara itu, eksport semula mencatatkan RM33.8 bilion (23.4 peratus daripada jumlah eksport), meningkat 46.4 peratus,” katanya da­lam kenyata­an.

DOSM berkata, import pada September meningkat 33 peratus kepada RM112.6 peratus, terus mengatasi pertumbuhan eksport untuk sembilan bulan berturut-turut.

Tambahnya, import me­ngi­kut penggunaan akhir me­ngekalkan pertumbuhan po­sitif dengan peningkatan barangan perantaraan (35.1 peratus), barangan modal (30.5 peratus) dan barangan penggunaan (28.2 peratus).

Selaras dengan itu, jelas DOSM, jumlah dagangan Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan dua angka 31.4 peratus kepada RM256.9 bilion berbanding bulan yang sama tahun lalu.

“Lebihan dagangan pula meningkat 20.9 peratus daripada RM26.2 bilion pada September 2021 kepada RM31.7 bilion untuk mencatatkan lebihan bulan ke-29 berturut-turut sejak Mei 2020,” katanya.

Tambahnya, pertumbuhan eksport disokong oleh pe­ningkatan eksport yang lebih tinggi ke Singapura (RM4.7 bilion), Jepun (RM4.2 bilion), Amerika Syarikat (RM4.0 bilion), Australia (RM2.9 bilion), Hong Kong (RM2.4 bilion), Indonesia (RM2.0 bilion), Vietnam (RM1.9 bilion), Kesatuan Eropah (RM1.7 bilion), China (RM1.5 bilion) dan Republik Korea (RM1.5 bilion).

Eksport turut didorong oleh peningkatan barangan elektrik & elektronik (RM16.3 bilion); keluaran petroleum (RM7.9 bilion); gas asli cecair (RM3.8 bilion); petroleum mentah (RM1.3 bilion); barangan optik & saintifik (RM1.3 bilion); jentera, kelengkapan & peralatan (RM1.2 bilion) dan kimia & bahan kimia (RM879.3 juta).

Sementara itu, import dipacu oleh peningkatan import yang lebih tinggi dari Amerika Syarikat (RM4.0 bilion), China (RM3.9 bilion), Arab Saudi (RM3.2 bilion), Australia (RM2.6 bilion), Singapura (RM2.6 bilion), Indonesia (RM2.5 bilion), Taiwan (RM2.4 bilion), Jepun (RM1.4 bilion) dan Thailand (RM1.3 bilion).

Menurutnya, peningkatan dalam import turut dicatatkan bagi barangan elektrik & elektronik (RM5.5 bilion); petroleum mentah (RM4.5 bilion); ke­luaran petroleum (RM3.3 bilion); jentera, kelengkapan & peralatan (RM3.1 bilion); kelengkapan pengangkutan (RM2.8 bilion); arang batu (RM1.5 bilion); kimia & bahan kimia (RM1.2 bilion) dan gas asli cecair (RM1.1 bilion).

“Jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan bagi suku tahun ketiga (ST3) 2022 meningkat dengan ketara berbanding ST3 2021. Jumlah dagangan meningkat 42.0 peratus, eksport (38.3 peratus), import (46.5 peratus) manakala lebihan dagangan meningkat 5.6 peratus” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN