MARANG: Coara Marang Sdn. Bhd. (Coara Marang) membangunkan projek ladang tenaga solar fotovoltaik (PV) terbesar di negara ini melibatkan kos RM400 juta di Jalan Felda Rantau Abang 1, Merchang dekat sini.
Pengarah Eksekutif Coara Marang, Susan Hemming berkata, ladang solar berkapasiti 116 Megawatt (MW) itu dibangunkan hasil kerjasama dengan rakan niaganya dari Jerman, ib vogt GmbH di kawasan seluas di kawasan seluas 245 hektar.
Menurutnya, pembinaan ladang solar itu bermula pada Februari 2021 dan siap April lalu serta mencapai operasi komersial pada 17 September lalu.
“Ladang solar ini akan mencapai kecekapan pengeluaran tenaga maksimum sehingga 116 MV dengan anggaran penghantaran tenaga bersih sebanyak sebanyak 230 GigaWattjoule (GWj) setahun.
“Penghasilan tenaga ini akan membantu meningkatkan kemapanan alam sekitar dengan mengurangkan pelepasan sehingga 120,000 tan karbon dioksida setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Loji Jana Kuasa Solar Coara Marang di Jalan Felda Rantau Abang 1, dekat sini, semalam.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu, Dr. Mamad Puteh yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Mohammad Razif Abdul Muin.
Selain itu, Susan menambah, menerusi projek tersebut, syarikat juga memainkan peranan positif ke arah agenda perubahan iklim Malaysia dalam menjana tenaga bersih yang mampan tanpa menghasilkan pelepasan gas rumah hijau serta mengurangkan pencemaran udara.
“Kami percaya kepakaran yang kami miliki dalam teknologi tenaga boleh diperbaharui akan membantu memaksimumkan potensi tenaga bersih daripada sumber asli, selain mempelbagaikan penjanaan tenaga dan mengurangkan pergantungan kepada minyak dan bahan api fosil,” ujarnya.
Sementara itu, Mamad memberitahu, projek ladang solar berkapasiti 116 MW itu mampu membekalkan tenaga elektrik kepada kira-kira 55,000 isi rumah di negeri ini.
“Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjangkakan penggunaan solar akan meningkat di negara ini sehingga 23 peratus pada 2025,” katanya. – UTUSAN










