Bajet 2023: Segerakan pengambilan buruh asing - Utusan Malaysia

Bajet 2023: Segerakan pengambilan buruh asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menggesa kerajaan meluluskan segera pengambilan buruh asing dalam Bajet 2023. 

Pengerusinya, Datuk William Ng berkata, kelulusan tersebut melibatkan pekerja untuk kerja-kerja manual yang tidak dipenuhi oleh pekerja tempatan.

Ujarnya, kerajaan pada masa yang sama diminta memberikan insentif fiskal kepada perusahan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengambil pekerja tempatan supaya pekerja tempatan memilih untuk bekerja dalam sektor PKS.

“Masalah utama dalam kalangan PKS adalah kekangan tenaga kerja. Ia melibatkan pekerja tempatan dan buruh asing. 

“Inilah sebabnya kami mengesyorkan supaya kerajaan meluluskan segera pengambilan buruh asing untuk kerja-kerja manual yang tidak mendapat sambutan dalam kalangan pekerja tempatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas lanjutan moratorium untuk PKS, William berkata, moratorium bukanlah langkah terbaik untuk PKS kerana ia akan memanjangkan tempoh pinjaman mereka dan menambah faedah yang perlu dibayar. 

Menurutnya, bank seharusnya diberi mandat untuk berbincang dengan PKS yang terlibat dan mencari penyelesaian termasuk penstrukturan semula pinjaman secara individu.

“Ramai PKS yang terjejas oleh pandemik Covid-19 dan kekurangan tunai untuk memulakan semula operasi mereka. Ada yang sudah dapat pesanan baharu daripada pelanggan tetapi tiada modal untuk membeli bahan mentah atau membayar gaji pekerja. 

“Mungkin inilah yang mendorong sebahagian daripada PKS untuk meminta moratorium khas sebagai jalan singkat bagi menyelesaikan masalah mereka. 

“Sebaiknya, kita perlu menggalakkan pihak bank untuk memberikan pinjaman penyambung atau Banker’s Acceptance untuk membantu mereka yang betul-betul mahu dan dapat menyambung kembali perniagaan mereka dan bukannya memberi moratorium secara pukal kepada semua,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, sebarang ketidaktentuan pasaran termasuk nilai ringgit akan mendatangkan kesan kepada perniagaan PKS, memandangkan margin keuntungan mereka amat rendah.

Jelasnya, produktiviti PKS juga rendah yang mana produktiviti mereka tahun lepas adalah 30 peratus lebih rendah berbanding syarikat lebih besar. 

“Oleh itu, kita harus membantu menyelesaikan masalah produktiviti ini melalui pendigitalan, reformasi buruh dan pendidikan serta membantu PKS mencari pengkhususan untuk mendapatkan ekonomi skala. 

“Usaha ini membuka pasaran baharu untuk perniagaan dan merancakkan sektor kewangan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya