PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ravinthran Paramaguru mendahului senarai 14 orang hakim dalam Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia di Istana Kehakiman sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan di sini hari ini.
Turut mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan ialah Datuk Azmi Ariffin.
Kedua-duanya mengangkat sumpah di hadapan Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Ravinthran, 63, pernah mengetahui panel Hakim Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menghidupkan semula saman RM1.9 juta terhadap bekas Peguam Negara (AG), Tan Sri Tommy Thomas.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak.

Azmi, 65, pernah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai Pegawai Pengendali Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi Menyiasat Isu Campur Tangan Pelantikan Hakim-Hakim pada 12 Disember 2007 dan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi Menyiasat Isu Pendatang Asing Tanpa Izin Mendapat Kewarganegaraan di Sabah pada 23 November 2012.
Turut mengangkat sumpah sebagai Hakim Mahkamah Rayuan di hadapan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais ialah Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh, Datuk Seri Mohd Radzi Harun, Datuk Aliza Sulaiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh, Dean Wayne Daly dan Datuk Seri Latifah Mohd Tahar.
Selain itu, enam termasuk anak kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali turut mengangkat sumpah sebagai Hakim Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah.
Mereka ialah Dr. Suzana Muhamad Said, Yusrin Faidz Yusoff, Arziah Mohamed Apandi, Datuk Hazizah Kassim, Gan Techiong dan Suriyati Hasimah Mohd Hashim.
Kesemua mereka dikurniakan surat cara pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pagi ini di Istana Negara. – UTUSAN










