PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan jumlah dagangan bernilai RM265.7 bilion pada Ogos dengan Pulau Pinang merekodkan dagangan tertinggi sebanyak RM69.2 bilion.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataannya berkata, nilai eksport pada bulan tersebut bernilai RM141.3 bilion manakala import bernilai RM124.4 bilion.
Katanya, eksport meningkat sebanyak RM46 bilion atau 48.2 peratus manakala import naik RM50.2 bilion atau 67.6 peratus pada Ogos berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
“Lima negeri yang mencatatkan eksport tertinggi adalah Pulau Pinang dengan eksport sebanyak RM42.3 bilion dan import sebanyak RM26.9 bilion, diikuti Johor dengan eksport sebanyak RM33.1 bilion dan import sebanyak RM28.4 bilion.
“Selangor pula merekodkan eksport sebanyak RM24.8 bilion dan import sebanyak RM31.4 bilion, Sarawak eksport sebanyak RM11.8 bIlion dan import (RM2.6 bilion) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula merekodkan eksport (RM7.5 bilion) dan import (RM12.2 bilion),” katanya.
Sementara itu, DOSM berkata, negeri yang mencatatkan peningkatan dagangan adalah Kedah mencatatkan jumlah eksport sebanyak RM4.4 bilion dan import (RM6.1 bilion), Kelantan masing-masing pada RM0.5 bilion dan RM0.2 bilion, Melaka pada RM2.8 bilion dan RM3.3 bilion serta Negeri Sembilan (RM2.1 bilion dan RM4.5 bilion).
Dalam pada itu, dagangan turut naik di Pahang dengan mencatatkan eksport sebanyak RM3.0 bilion dan import sebanyak RM2.2 bilion, Sabah masing-masing pada RM2.9 bilion dan RM1.2 bilion dan Perlis pada RM0.1 bilion dan RM0.1 bilion.
DOSM memberitahu, eksport menyusut di Perak, Terengganu, dan Wilayah Persekutuan Labuan iaitu masing-masing pada RM3.3 bilion, RM1.4 bilion dan RM0.6 bilion.
Sementara itu, import bagi ketiga-tiga negeri tersebut adalah RM3.1 bilion (Perak), RM0.5 bilion (Terengganu) dan RM0.4 bilion (Labuan).
“Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan sebanyak 29.9 peratus, diikuti oleh Johor (23.4 peratus), Selangor (17.5 peratus), Sarawak (8.4 peratus) dan Kuala Lumpur (5.3 peratus).
“Sementara itu, Selangor menjadi penyumbang utama bagi import sebanyak 25.3 peratus, diikuti oleh Johor (22.8 peratus), Pulau Pinang (21.7 peratus), Kuala Lumpur (9.8 peratus) dan Kedah (4.9 peratus),” ujarnya. – UTUSAN










