KPS didik generasi muda menunggang dengan lesen sah - Utusan Malaysia

KPS didik generasi muda menunggang dengan lesen sah

KPS wujudkan program CSR selepas mendapati banyak kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal di negara ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Kadar kemalangan motosikal di negara ini amat tinggi dan mengorbankan nyawa tidak kira tua atau muda. Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong pada Januari 2022, sebanyak 255,532 kemalangan jalan raya telah direkodkan dari Januari sehingga September 2021.

Bertitik tolak daripada itu, Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) mengambil inisiatif melancarkan program KPS #RideHomeSafe 2022 dan Mini Karnival Keselamatan Jalan Raya di Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang baru-baru ini.

Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, Abdul Razak Idris bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Kewangan dan Perkhidmatan Korporat), Suzila Khairuddin di pejabatnya bagi mendapat gambaran sebenar program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang telah diatur pihak KPS.

SUZILA KHAIRUDDIN

UTUSAN: Apakah tujuan pihak KPS mewujudkan program program KPS #RideHomeSafe 2022?

SUZILA: Kami sememangnya mencari idea CSR terbaik untuk memastikan KPS mewujudkan program yang memberi manfaat kepada masyarakat. Setelah membuat kajian kita dapati wujud banyak kemalangan maut melibatkan rakyat negara ini dan dari situlah kami mendapat idea untuk mewujudkan program CSR berkenaan keselamatan jalan raya.

Adakah statistik kemalangan yang terlampau tinggi menjadi pendorong untuk KPS melancarkan usaha ini?

Merujuk kepada laporan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pada 2016, sebanyak 80 peratus daripada 117,000 pelajar sekolah yang menunggang motosikal tidak mempunyai lesen yang sah. 

Sehubungan itu, kita merasakan satu usaha perlu digembleng untuk mendidik generasi muda yang bakal mewarisi negara ini menjadi penunggang motosikal yang mempunyai pengetahuan tentang mengendalikan motosikal dengan cara dan betul dan mempunyai lesen bagi mengelak berlakunya kemalangan.

Siapa yang mendapat manfaat daripada program #RideHomeSafe2022 ini?

Seramai 140 orang peserta dari sekitar Selangor telah mendapat tajaan lesen motosikal percuma daripada KPS.

Sebenarnya program KPS #RideHomeSafe ini telah bermula sejak tahun lalu. Program ini diteruskan lagi pada tahun ini dengan menyasarkan pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia khususnya komuniti B40 di Selangor.

Boleh terangkan modul yang terdapat dalam program KPS #RideHomeSafe ini?

Program keselamatan jalan raya yang komprehensif ini merangkumi pendidikan pembelajaran secara maya bagi semua pelajar sekolah menengah di Malaysia, termasuk penajaan lesen motosikal kepada komuniti asnaf yang terpilih serta karnival keselamatan jalan raya bagi golongan B40 di Selangor. 

Program ini adalah dengan kerjasama strategik KPS bersama PDRM dan JPJ.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan di PPR Lembah Subang 2 termasuklah taklimat keselamatan jalan raya oleh Bahagian Keselamatan Jalan Raya, pameran Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan JPJ serta pertandingan mewarna bagi kanak-kanak. 

Pengunjung juga berkesempatan untuk membuat semakan dan bayaran saman JPJ, serta membuat pembaharuan lesen memandu dan lesen kenderaan motor menerusi kaunter bergerak JPJ Mobile di karnival tersebut. 

Boleh terangkan modul pembelajaran secara maya KPS #RideHomeSafe ini?

Modul pembelajaran secara maya program KPS #RideHomeSafe ini mengandungi dua modul video dan kuiz keselamatan jalan raya yang interaktif. 

Peserta yang telah menamatkan modul akan diberikan e-sijil penyertaan yang menyumbang kepada merit kokurikulum peringkat kebangsaan.

Program e-pembelajaran #RideHomeSafe telah berjaya mencatat jumlah keseluruhan  penyertaan  seramai  103,804  pelajar  dari  1,650  sekolah  menengah  di  seluruh  negara  pada  tahun lalu.

Program e-pembelajaran ini masih berjalan sehingga 31 Oktober ini menerusi laman web www.kps-rhs.com.

Adakah program ini akan diteruskan pada masa depan?

Peserta KPS#RideHomeSafe akan menyertai program  #RideHomeSafe MyLesen pula.

Ini adalah komitmen  KPS untuk kekal  komited membantu menangani jumlah penunggang motosikal tidak berlesen dalam kalangan golongan belia di Selangor, khususnya dalam kalangan keluarga B40. 

Pada tahun lalu, KPS telah menaja seramai 60 orang pelajar dalam kalangan keluarga yang berpendapatan rendah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19 Shah Alam. Tahun ini pula, KPS telah menaja seramai 80 orang asnaf yang layak dari PPR Lembah Subang 2.  

Apakah harapan pihak KPS dengan perlaksanaan program CSR ini?

Statistik-statistik kemalangan jalan raya amat membimbangkan dan isu keselamatan jalan raya negara yang kian berterusan ini harus dipandang serius oleh semua pihak.

Kadar kematian jalan raya yang melibatkan penunggang motosikal dan remaja setiap tahun adalah amat menyedihkan.

Hal ini berlaku kerana kebanyakan pelajar sekolah dan penunggang motosikal tanpa lesen yang sah adalah daripada keluarga yang kurang berkemampuan dan kos lesen motosikal menjangkaui kemampuan keluarga masing-masing. 

Pihak KPS berharap penajaan lesen motosikal daripada KPS ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan keluarga-keluarga terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya