Lima beradik terpaksa hidup terpisah

Lima beradik terpaksa hidup terpisah

NOOR Immarzaliza Abdul Rahim memangku Mohd. Rayhan Qersani Muharram di samping bapanya, Abdul Rahim Hashim ketika ditemui di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, Kedah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Lima beradik berusia antara empat tahun hingga 19 tahun terpaksa menjalani kehidupan secara berasingan selepas ibu bapa mereka meninggal dunia akibat penyakit kronik sejak dua tahun lalu.

Lima beradik berkenaan kini tinggal bersama ibu saudara yang berbeza kerana tiada waris mampu menjaga mereka serentak kerana berdepan beberapa kekangan.

Anak kedua pasangan Allahyarham Rohani Ab. Rahim dan Rosli Abdullah, Nur Damia Alie­sya Rosli, 16, berkata, kehidupan mereka sekeluarga berubah selepas kehilangan ibunya pada Jun 2024 kerana penyakit barah diikuti bapanya Disember tahun sama kerana serangan jantung.

“Selepas ibu dan bapa kami tiada, tiga daripada kami me­netap bersama kakak arwah ibu manakala dua lagi adik-beradik yang masih kecil dijaga oleh dua lagi ibu saudara yang tinggal di Kelantan dan di sini.

“Namun, kami sentiasa ber­kumpul bersama-sama ketika cuti sekolah mahupun majlis keluarga. Hubungan kami adik-beradik tidak pernah renggang meskipun terpaksa berjauhan,” katanya ketika ditemui di Kampung Gong Tengah di sini.

Sementara itu, ibu saudaranya, Rohana Ab. Rahim, 43, berkata, dia dan dua adiknya tetap memikul amanah Allahyarham Rohani untuk menjaga lima anak buahnya dengan hati yang lapang.

Ujarnya, meskipun memiliki cahaya mata sendiri tetapi kehadiran anak-anak saudara yang kehilangan tempat bergantung itu memeriahkan lagi suasana rumah mereka.

“Saya mempunyai empat anak ditambah pula tiga lagi anak saudara iaitu Mohammad Danial Haikal, 19, Nur Damia Aliesya, 16, Nur Dhia Izarra, 13, menjadikan semua anak saya tujuh orang.

“Saya tidak pernah menganggap mereka beban, mereka juga hidup seperti anak-anak saya termasuk diberikan pendidikan yang sepatutnya demi masa depan mereka,” katanya.

Nasib lima beradik yatim piatu yang kehilangan ibu bapa mereka itu mendapat perhatian Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari yang hadir menyantuni mereka dan menghulurkan sumbangan kelmarin.

Allahyarham Rosli Abdullah adalah bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berkhidmat selama 13 tahun dan meninggal dunia akibat serangan jantung pada Disember 2024 ketika berusia 41 tahun.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×