SUNGAI PETANI: Seorang wanita reda apabila anak bongsunya menghidap penyakit Hydrocephalus selepas tiga bulan dilahirkan.
Keadaan itu menyebabkan Mohd. Rayhan Qersani Muharram Muhammad Qusyairy, 2, tidak bebas bergerak selepas kepalanya semakin membesar berikutan kewujudan lebihan cecair yang dikesan pada otaknya.
Noor Immarzaliza Abdul Rahim, 41, berkata, kesan daripada penyakit itu telah menyebabkan kesihatan anaknya sering terganggu apabila kerap diserang sawan, selalu penat dan tidak nyenyak tidur.
“Kehidupan saya semakin tertekan selepas terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu kedai makan dan hilang punca pendapatan kerana perlu memberikan perhatian menjaga anak selepas kesihatannya semakin merosot,” katanya semasa ditemui di rumah sewanya di Bandar Puteri Jaya, di sini.
Menurutnya, dia juga menjaga seorang lagi anak lelakinya Mohd Rayhan Adha, 7, yang mempunyai autisme serta bapanya Abdul Rahim Hashim, 66, yang menghidap pelbagai penyakit.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyumbang ke akaun Maybank 152219077980 atas nama Noor Immarzaliza Abdul Rahim atau menghubunginya di nombor 011-58674302.-UTUSAN.











