PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Indonesia (BI) memperbaharui Perjanjian Swap Mata Wang Tempatan Dua Hala (LCBSA) dengan jumlah pengaturan swap hingga RM8 bilion atau 28 trilion rupiah pada 23 September 2022.
BNM dalam kenyataannya berkata, pembaharuan perjanjian itu merupakan susulan perjanjian pertama yang ditandatangani pada 2019 dan akan berkuat kuasa untuk tempoh tiga tahun.
Katanya, perjanjian yang diperbaharui tersebut mengukuhkan kerjasama sedia terjalin antara kedua-dua bank pusat.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, pihaknya berbesar hati untuk meneruskan kerjasama dengan BI melalui pembaharuan LCBSA.
“Memandangkan aliran perdagangan yang tinggi (sebanyak RM95 bilion pada 2021) antara Malaysia dengan Indonesia, kami berbesar hati untuk meneruskan kerjasama dengan Bank Indonesia.
“LCBSA juga menyumbang kepada Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan (LCSF) antara kedua-dua negara iaitu pengaturan yang menggalakkan penggunaan mata wang tempatan secara lebih meluas bagi penyelesaian perdagangan dan pelaburan,” katanya.
Sementara itu, Gabenor BI, Perry Warjiyo berkata, pihaknya percaya bahawa pembaharuan pengaturan swap mata wang mencerminkan kerjasama kewangan yang terus kukuh antara kedua-dua bank pusat.
“Ini akan terus membina keyakinan pasaran terhadap asas ekonomi kedua-dua negara.
“Pembaharuan swap ini juga menunjukkan komitmen kami untuk memperkukuh kestabilan pasaran kewangan melalui usaha menggalakkan penggunaan mata wang tempatan yang lebih meluas untuk transaksi dua hala antara Indonesia dengan Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN









