PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui dua anak syarikatnya bersama IHI Power System Malaysia Sdn. Bhd. (IPSM) dan Petronas Hydrogen Sdn. Bhd. (Petronas Hydrogen) berjaya menjalankan ujian pertama pembakaran bersama ammonia dalam penjanaan tenaga berasaskan arang batu di Malaysia.
Anak syarikat TNB terlibat ialah TNB Research Sdn. Bhd. (TNBR) dan TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco).
Ujian pembakaran bersama ammonia dan arang batu tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif menyahkarbon sektor tenaga negara dan ia dijalankan di pusat kemudahan pelantar ujian TNBR di Kajang, Selangor, baru-baru ini.
Menurut TNB, ujian tersebut menempa kejayaan apabila pelepasan Karbon Dioksida (CO2) dan Sulfur Dioksida (SO2) yang direkodkan didapati berkurangan mengikut kadar pembakaran.
“Malahan, tiada kesan tindak balas ammonia pada laluan keluar relau ketika ujian dijalankan. Suhu pembakaran juga tidak menunjukkan perbezaan ketara.
“Hasil ujian dilihat memenuhi objektif eksperimen menuju nyah karbon, lantas mengukuhkan peluang TNB untuk mewujudkan projek rintis stesen janakuasa rendah karbon sekiranya memperoleh persetujuan daripada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan.

TNB berkata, ujian pembakaran bersama itu diketuai IPSM, pakar dalam pembangunan teknologi pembakaran ammonia, manakala Petronas Hydrogen berperanan membekalkan ammonia dan peralatan berkaitan, sementara TNBR menyediakan tenaga kerja, utiliti dan peranti pengukuran.
TNB Genco pula katanya, menyediakan jenis-jenis arang batu yang digunakan di stesen janakuasa arang batu sedia ada.
“Objektif utama ujian ini adalah bagi menentukan kesan pembakaran bersama ammonia sebagai bahan bakar bebas karbon terhadap arang batu dalam sistem penjanaan kuasa berasaskan arang batu,” katanya.
Menurut syarikat utiliti negara itu, pada teorinya, pembakaran bersama ammonia boleh mengurangkan secara ketara pelepasan CO2 yang mampu menyekat nitrogen oksida sambil menstabilkan pembakaran.
Jelasnya, eksperimen menggunakan tiga jenis arang batu yang biasa digunakan di stesen janakuasa arang batu Malaysia.
“Nisbah ammonia dinaikkan secara berperingkat daripada 0 hingga 60 peratus bagi setiap jenis arang batu. Selain aspek pelepasan CO2, ujian ini juga bertujuan melihat kesan kepada dandang, kestabilan nyalaan pembakaran, baki arang batu tidak terbakar, sifat gas terhasil, ukuran sulfur oksida, abu dan kesan jelaga.
“Ujian pembakaran bersama ammonia dan arang batu ini adalah sebahagian daripada usaha TNB meneroka potensi penyahkarbonan seiring Hala Tuju Kelestarian TNB dan menyokong inisiatif kerajaan untuk mencapai sasaran 45 peratus pengurangan intensiti Gas Rumah Kaca (GHG) pada 2030,” jelasnya. – UTUSAN










