KUALA LUMPUR: Selepas 23 tahun menyepi, Datuk Yusry Abdul Halim kembali ke persada seni tanah air dengan penghasilan album baharu yang dinamakan Eternal.
Yusry memberitahu sebelum ini beliau tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengeluarkan album, namun berubah fikiran selepas ditanya mengenai perkara tersebut.
“Semuanya berlaku ketika sambutan Tahun Baharu (2025) di Sarawak apabila ditanya pihak Sony Music mengenai album solo.
“Saya ingat cukuplah KRU tampil dengan Konsert tahun lalu. Entah macam mana, Rezeki itu memang tak salah alamat dan kebetulan sesuai dengan keadaan, lantas saya memutuskan untuk mengeluarkan Eternal,” katanya dalam sidang media dan konsert yang diadakan di Jiospace, malam tadi.
Album Eternal memuatkan enam lagu baharu melibatkan gabungan komposer baharu dan lama termasuk Lucka Sickta.
Dalam album tersebut, Yusry menampilkan genre Rock yang berlainan dengan genre R&B dan Hip Hop yang diperjuangkan KRU.
“Ketika bersama KRU, banyak perkara yang saya tak boleh buat kerana bila berada dalam kumpulan, apa sahaja keputusan dibuat secara bersama.
“Apa gunanya saya muncul dengan genre yang sama, lebih baik saya melakukannya bersama KRU.
“Jadi saya mengambil keputusan untuk menampilkan kelainan untuk menghormati kumpulan KRU, tampilkan genre dan stail yang berlainan serta mencari cabang lain,” jelasnya.
Mengulas tentang cabaran, Yusry memaklumkan proses pemilihan enam lagu yang dimuatkan dalam album tersebut menjadi perkara paling sukar sementelah beliau mempunyai terlalu banyak lagu yang belum diterbitkan.
“Sebenarnya cabarannya dari segi pemilihan lagu kerana banyak lagu yang tidak dirakamkan. Enam lagu yang dimuatkan ini adalah lagu-lagu yang saya peram.
“Akhirnya saya terbitkan enam lagu dengan bantuan komposer baharu dan lama. Saya nak beri mereka ruang untuk menyinar,” kongsinya. – UTUSAN










