Taufan Noul paksa lebih 715,000 penduduk selatan China berpindah

Taufan Noul paksa lebih 715,000 penduduk selatan China berpindah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Taufan Noul melanda selatan China pada awal Ahad, membawa angin kencang dan hujan lebat ke beberapa kawasan termasuk Hong Kong, selepas mencetuskan pemindahan besar-besaran penduduk serta pembatalan ratusan penerbangan.

Taufan yang dianggap paling kuat melanda China tahun ini menyebabkan lebih 715,000 ribu penduduk di wilayah Guangdong dipindahkan apabila kawasan berkenaan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga tinggi.

Pihak berkuasa berkata, Noul akan membawa hujan sangat lebat ke sebahagian besar selatan China selama dua hari, selepas angin kencang melanda wilayah Guangdong dan Hong Kong.

China turut mengeluarkan tahap amaran tertinggi bagi risiko banjir kilat di beberapa wilayah.

Noul, ribut tropika ke-12 tahun ini dan yang ketiga melanda China pada bulan ini, mendarat di pantai daerah Huidong sekitar pukul 3.50 pagi (waktu tempatan) Ahad, menurut pegawai tempatan.

Nama Noul, yang bermaksud cahaya ketika matahari terbit atau terbenam dalam bahasa Korea, dijangka membawa angin kencang dan hujan lebat ke wilayah berhampiran seperti Jiangxi dan Hunan ketika bergerak ke kawasan pedalaman.

Menurut media kerajaan China, hujan dijangka berterusan sehingga Selasa.

Hujan luar biasa lebat hingga tahap ekstrem diramalkan berlaku di beberapa kawasan termasuk di selatan Guangdong dan tenggara Fujian selepas Pusat Meteorologi Kebangsaan China memberi amaran hujan lebat dan banjir dari Ahad hingga pagi Isnin di sebahagian besar selatan negara itu.

Pihak berkuasa menggesa kerajaan tempatan memberi perhatian khusus terhadap kawasan berisiko banjir seperti kawasan pergunungan, sungai, tapak pembinaan, lembah dan jambatan. Perkhidmatan kereta api di wilayah itu turut dihentikan pada Ahad, lapor China News Service.

Ratusan pokok dilaporkan tumbang di daerah Huilai, kawasan pantai Guangdong, menurut penyiar negara CCTV.

Sementara itu, pihak berkuasa lapangan terbang Hong Kong berkata, kira-kira 350 penerbangan dibatalkan pada Ahad akibat taufan berkenaan.

Sekurang-kurangnya sembilan orang dilaporkan cedera di seluruh bandar itu sepanjang tempoh ribut, menurut pihak berkuasa. Pegawai berkata, operasi penerbangan akan disambung secara berperingkat pada petang Ahad.

Ketika Noul menghampiri Hong Kong, sebahagian struktur rangka besi besar pada sebuah bangunan tinggi runtuh pada Sabtu, namun laporan awal menyatakan tiada kecederaan berlaku.

Di Taiwan, Pentadbiran Cuaca Pusat negara itu berkata, taufan tersebut turut membawa hujan ke beberapa kawasan selatan dan timur Taiwan sebelum bergerak menjauhi pulau berkenaan pada Sabtu.

Awal bulan ini, Taufan Bavi membawa angin kencang dan hujan lebat ke timur China, menyebabkan lebih dua juta penduduk dipindahkan. Ribut itu melanda daratan pada 11 Julai, manakala satu lagi taufan, Maysak, mendarat di selatan China pada 3 Julai.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN