UNTUK sampai ke bandar dari kampung, saya akan melalui sebuah ladang burung unta kira-kira empat hektar sepanjang jalan. Semasa kecil, saya selalu berfikir, adakah burung unta sedar mereka aneh kerana menjadi antara spesies burung yang tidak boleh terbang walaupun mempunyai sayap?
Pertanyaan itu kembali mendatangi saya ketika Aisha saling bertatap mata dengan burung unta yang sama besar dengannya dalam Aisha Can’t Fly Away arahan Morad Mostafa. Pengarah yang juga pemenang anugerah antarabangsa di Mostra de València, Sepanyol, menampilkan burung unta sebagai sebuah metafora kepada gadis asal Sudan, Aisha.
Burung unta adalah binatang asal benua Afrika, biasa dilihat jika di Sudan. Tidak boleh terbang, tapi boleh berlari. Aisha ‘berlari’ ke Mesir menyelamatkan diri ketika perang saudara meledak di Sudan pada 2023.
Aisha menjadi antara seorang daripada 851,947 warga Sudan yang berdaftar mencari perlindungan di UNCHR Mesir. Namun filem seperti sifatnya, akan pergi lebih dalam daripada sekadar angka statistik.
Namun di tangan Morad, rasa-rasa tidak selesa dan kehampaan seorang Aisha kepada kebobrokan sistem menyerap hingga ke tulang. Seperti sebuah tiga segi, Aisha tersepit antara tiga lelaki yang menyusahkan hidupnya baik di tempat kerja, kejiranan dan hubungan cinta.

Gadis berusia 26 tahun itu yang juga bekerja sebagai penjaga orang tua diminta melakukan aktiviti seksual. Ketika Aisya mengadu perkara itu, majikannya menyuruh Aisha anggap sahaja itu bukan perkara besar, sekadar servis bakti kepada lelaki tua yang sakit.
Pulang dari hari yang malang, Aisha kena berhadapan pula dengan jiran-jiran samseng. Memeras ugut Aisha memberikan kunci rumah pelanggannya agar boleh dirompak. Hampir setiap malam, ada sahaja tembak-menembak, peristiwa ngeri dilakukan samseng Arab di perumahan berkos rendah di Ain-Shams.

Perempuan Sudan hanya berbaring dengan kaki bersandar di dinding membayangkan kalaulah dia boleh terbang, bebas daripada semua cengkaman sistem ini. Hendak beritahu kekasihnya, dia juga seorang ‘loser’ yang dipaksa bernikah dengan perempuan lain.
Semua yang memegang kuasa dalam kehidupan Aisha adalah lelaki, menunjukkan betapa kecilnya peranan seorang wanita. Apa lagi jika seseorang itu seperti Aisha, perempuan yang juga imigran. Eksploitasi dan pilih kasih macam jadi perkara biasa.
Sesekali terdengar berita dari televisyen tentang tanah tumpah darah yang masih juga tidak habis berbalah. Sepanjang di kerusi penonton, kita dapat mengenal kesendirian Aisha sebagai orang yang merantau.

Seluruh filem ini berisi ‘kedinginan’ baik di dalam bas, tempat kerja, atas motor, jalan raya, dalam bilik. Namun satu-satunya yang terlihat hangat adalah ketika wanita itu melawat rumah kawannya, Tawfiqah. Mereka menari bersama-sama dalam rumah kecil yang dihuni ramai gadis. Tidak mungkin Aisha muat tinggal di sana tapi kita tahu ia mengubati sedikit kesepian Aisha.
Aisha Can’t Fly Away turut menunjukkan bagaimana sistem pembahagian gaji antara imigran perempuan tidak adil, jumlahnya tidak pernah tepat. Apabila mereka mempersoalkan gaji yang sepatutnya diterima, majikan mereka yang juga seorang Arab akan menjerkah ‘kau nak kata aku rembat duit kau?’ sebelum insiden tolak menolak dan pukul.
Semakin filem berjalan, saya menemui kesedihan dan rasa putus asa yang jauh lebih dalam. Tidak ada khabar baik, sinar atau harapan. Mungkin memang Aisha Can’t Fly Away dicipta untuk itu.
Ini bukan filem yang apabila tamat buat kita rasa tenang dan perlu mengubah sesuatu. Tapi sebuah filem yang membuat kita mengheret setiap yang ditanggung Aisha, bawa pulang, terngiang selepas keluar panggung.
Membuat kita teringat-ingat rasa putus asa dilalui Aisha, berulang-ulang setiap hari, sendiri, dingin dan bertanya ‘bolehkah suatu hari nanti dia juga boleh terbang?’










