Sime Darby Property kekurangan 50% pekerja asing - Utusan Malaysia

Sime Darby Property kekurangan 50% pekerja asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad (SDP)  berhadapan dengan masalah kekurangan pekerja asing sehingga 50 peratus yang telah menyebabkan beberapa projek mereka terpaksa ditunda.

Pengarah Urusan kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican, masalah kekurangan pekerja itu telah menyebabkan 20 hingga 30 peratus projek kumpulan terpaksa ditunda.

“Projek-projek tersebut perlu ditunda sebanyak 10 peratus buat masa ini. Namun, pada separuh pertama tahun ini, kami berjaya menyerahkan lima projek tepat pada masanya.

“Kami mempunyai baki tujuh lagi projek yang diharap dapat diserahkan pada hujung tahun ini. Tidak dinafikan masalah kekurangan pekerja ini akan memberi impak kepada pendapatan kumpulan.

“Kami tidak boleh mengebil pelanggan kerana kemajuan di tapak pembinaan lebih perlahan daripada jangkaan. Kami bijak dalam memilih subkontraktor untuk tangani masalah ini buat masa ini,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan secara maya, semalam.

Mengulas mengenai impak kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), Azmir berkata keadaan ketika ini adalah terkawal terhadap jualan hartanahnya, disokong permintaan kukuh terhadap kediaman berkualiti dengan lokasi yang strategik.

“Meskipun berdepan persekitaran mencabar, kumpulan berjaya mencatatkan jualan yang utuh sebanyak RM1.9 bilion pada separuh pertama tahun kewangan 2022.

“Jumlah jualan yang dicatatkan itu mewakili kira-kira 73 peratus daripada sasaran jualan sebanyak RM2.6 bilion untuk tahun ini.

“Untuk baki tahun ini, banyak perkembangan baharu yang menarik termasuk pelancaran Stesen Janakuasa Battersea di United Kingdom pada bulan Oktober dan Dana Pembangunan Perindustrian yang kini sedang berjalan melalui usaha sama dengan LOGOS Property, ia merupakan sumber pendapatan berulang bagi kumpulan selaras dengan strategi jangka panjang,” katanya.

Walaupun berdepan dengan masalah-masalah tersebut, keuntungan bersih SDP bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022 melonjak kepada RM105 juta daripada RM23.21 juta setahun lalu, dipacu pelancaran produk sepanjang tempoh pandemik yang mencatatkan kadar pengambilan memberangsangkan.

Pendapatan pada suku dikaji turut meningkat 22.6 peratus kepada RM615.61 juta daripada RM501.97 juta sebelumnya, disumbangkan oleh kemajuan di tapak pembangunan yang mantap di perbandaran utama bermula Jun, selain jualan produk dengan margin lebih tinggi.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pemaju hartanah itu berkata, kumpulan kekal komited untuk mencapai sasaran pelancaran produk dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.8 bilion tahun ini.

Katanya, produk bernilai RM1.5 bilion dilancarkan pada separuh pertama 2022 meraih purata kadar pengambilan 94 peratus bagi hartanah kediaman tidak termasuk produk statutori setakat 7 Ogos lalu.

Kumpulan juga terus meraih keputusan positif untuk membuka nilai daripada pengurusan simpanan tanah yang aktif dan proses pengewangan, manakala jumlah stok disiapkan turut berkurangan kepada RM319.9 juta setakat 30 Jun 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya