PETALING JAYA: PLS Plantations Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM35 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, peningkatan sebanyak 109.6 peratus berbanding RM16.7 juta yang diraih pada tahun lalu.
Jumlah hasil bagi tahun kewangan dikaji berada pada paras tertinggi sepanjang masa sebanyak RM184.1 juta, meningkat 36.5 peratus berbanding RM134.8 juta tahun lalu, dipacu peningkatan jualan dan harga jualan purata yang lebih tinggi bagi buah tandan segar (BTS).
Keuntungan bersih tahunan disederhanakan lagi oleh beberapa faktor termasuk pengiktirafan kerugian nilai saksama dalam aset biologi sebanyak RM5.2 juta berbanding keuntungan RM1.4 juta pada suku sebelumnya, cukai yang lebih tinggi, perbelanjaan pentadbiran dan peruntukan sekali sahaja untuk hutang ragu dalam segmen pembuatan dan perdagangan yang ditanggung syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Lee Hun Kheng berkata, selain mempelbagaikan perniagaan kepada tanaman yang berbeza, kumpulan juga membina saluran pengedaran dan mempelbagaikan ke dalam produk hiliran, khususnya ke dalam produk pengguna durian.
“Kami memberi tumpuan untuk melancarkan Program Agropreneur dan membina Taman Agroteknologi Bersepadu. Kerjasama kami dengan kerajaan serta rakan ekosistem akan menjadi tunjang kepada usaha kami untuk memainkan peranan dalam mengukuhkan ekologi dan rangkaian agromakanan tempatan yang akan menyumbang kepada keselamatan makanan keseluruhan negara.
“Dalam beberapa bulan akan datang, kami akan melaksanakan satu siri perkongsian yang membolehkan PLS menjejaki usaha kepelbagaian tanaman kami dengan pantas khususnya tanaman selingan dan tanaman kontan,” katanya dalam kenyataan.
Bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2022, PLS Plantations menyaksikan penurunan dalam keuntungan sebelum cukai (PBT) kepada RM4.8 juta atau 12.7 peratus lebih rendah berbanding RM5.5 juta pada suku kelima 2021.
Secara keseluruhan, untung bersih suku ke suku menyaksikan penurunan sebanyak 82.5 peratus kepada RM0.6 juta berbanding RM3.7 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Pendapatan sesaham (EPS) kini berada pada -0.10 sen (dicairkan) berbanding 0.65 sen tahun lepas. – UTUSAN










