Johor terima pelaburan RM15 bilion di Taman Pusat Data Hijau - Utusan Malaysia

Johor terima pelaburan RM15 bilion di Taman Pusat Data Hijau

ONN HAFIZ GHAZI (empat kiri) menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pusat Data Sea di Taman Pusat Data Hijau YTL di Kulai, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Johor dijangka menerima pelaburan berjumlah RM15 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang menerusi projek pembinaan Taman Pusat Data Hijau YTL di sini, yang pertama seumpama di Malaysia.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bagi fasa pertama projek berkenaan, sejumlah RM1.5 bilion akan dilaburkan syarikat konglomerat tempatan YTL Limited, sebelum tapak berkenaan disewakan kepada peneraju e-perdagangan terkemuka dunia, Sea Limited yang juga merupakan pemilik Shopee.

Menurutnya, pembinaan Taman Pusat Data Hijau YTL yang akan mengaplikasikan penggunaan tenaga solar itu bakal dibangunkan di kawasan seluas 111 hektar.

“Menerusi pembinaan Taman Pusat Data Hijau ini, Johor menjangka akan menerima pelaburan bernilai RM15 bilion dalam tempoh 10 tahun, dengan fasa pertama disasarkan siap sepenuhnya pada suku pertama 2024.

“Termasuk Taman Pusat Data Hijau YTL ini, Johor kini memiliki tiga pusat data, iaitu di Taman Teknologi Nusajaya dan Lembah Teknologi Sedenak. Ini sekali gus menjadikan Johor sebagai hab pusat data di Malaysia,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Pusat Data Sea di Taman Pusat Data Hijau YTL, di sini semalam.

Pusat Data Hijau YTL bakal menyediakan kapasiti simpanan sehingga 500 megawatt (mw), manakala Pusat Data Sea bakal menampung kapasiti data sehingga 72 mw.

Onn Hafiz berkata, Johor mempunyai potensi untuk menjadi peneraju penyedia pusat data antarabangsa berdasarkan beberapa kriteria antaranya infrastruktur, keluasan tanah, modal insan dan kemudahan logistik.

“Bagi rantau Asia Tenggara, permintaan untuk pusat data dijangka akan berkembang pada tahap 12.9 peratus setiap tahun dengan nilai pusat data dunia bakal mencecah AS$517.17 menjelang 2030.

“Pastinya Johor tidak mahu melepaskan peluang untuk turut sama menjadi pemain penting penyediaan pusat data antarabangsa, khususnya di rantau ini,” jelasnya.

Sementara itu, Ye Gang memberitahu, pihaknya komited dalam melaksanakan pelaburan jangka masa panjang bagi pembangunan ekonomi digital di Malaysia, khususnya di Johor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya