SHAH ALAM: Penyanyi,,Wani Kayrie tidak dapat menahan air mata sebaik sahaja lagu nyanyiannya, Cak Cak Cekuk , diumumkan berjaya mara ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), semalam.
Menurut Wani, tangisan itu bukan sekadar emosi spontan, sebaliknya lahir daripada perjalanan panjang, tekanan dan harapan besar yang dipikulnya sepanjang perjuangan membawa lagu tersebut ke pentas berprestij itu.
“Sejujurnya, tangisan itu membawa maksud yang sangat mendalam buat saya. Sudah tentu saya membaca komen-komen orang ramai dan ramai yang berkata lagu Cak Cak Cekuk ini pasti akan layak. Ada juga yang berpesan supaya saya tidak perlu terlalu risau kerana mereka yakin lagu ini akan berjaya mara ke pentas akhir.
“Tetapi saya tidak pernah mahu berasa terlalu selesa. Saya sentiasa meletakkan diri dalam keadaan bersedia kerana apa-apa sahaja boleh berlaku pada saat-saat akhir.
“Sebab itulah selagi saya belum selesai membuat persembahan, saya akan tetap menganggap diri saya sedang bertanding dan saya terus berasa gementar,”katanya.
Wani berkata demikian ketika ditemui selepas tamat program Anugerah Juara Lagu 40 Separuh Akhir yang berlangsung di sini, semalam.
Selain itu, kongsi Wani, dia juga mengakui seakan tidak percaya lagu tersebut mampu mara ke peringkat akhir namun bersyukur atas rezeki itu.
“Apabila saya melihat wajah sendiri di skrin dan keputusan diumumkan, saya hanya mampu berkata dalam hati, ‘Ya Allah, ini benar-benar terjadi.’ Penilaian juri itu membuatkan saya sangat bersyukur kerana akhirnya lagu ini layak bertanding di pentas sebesar AJL.
“Dalam banyak-banyak lagu yang bertanding, hanya lagu saya yang berentak rancak. Saya berasa sangat kecil jika dibandingkan dengan barisan penyanyi senior yang lain.
“Sebab itu saya sebak kerana saya membawa semangat dan harapan ramai orang yang mendoakan persembahan saya hari ini,” katanya.
Tambah penyanyi itu, segala usaha dan pengorbanan yang dicurahkan selama ini akhirnya terasa sangat berbaloi apabila berjaya menjejakkan kaki ke pentas akhir.
“Memang sangat berbaloi. Walaupun ada yang berkata, ‘Buat sahajalah persembahan biasa, tidak perlu terlalu all out’, tetapi bagi saya, saya tetap mahu memberikan yang terbaik.
“Saya mahu momen ini menjadi salah satu kenangan paling indah dalam perjalanan seni saya. Saya puas hati, penonton pun gembira dan itu sudah cukup bermakna.
“Apabila saya mengenang perjalanan lagu ini, terutama usaha orang-orang yang membantu menaikkannya, mereka yang menjadikan lagu ini tular serta melakukan promosi sejak awal ketika orang belum mengenali lagu ini, saya benar-benar terharu,”katanya.
Terdahulu, selain Cak Cak Cekuk, AJL40 juga menyaksikan sembilan lagi lagu berjaya tersenarai di pentas akhir.
Ia termasuk Tak Adil (Aisha Retno), Lemah(Dayang Nurfaizah), Tiwikarma (KOI), Tangisan Seorang Pendosa (Marsha Milan), Kamu (Aina Abdul), Nurcinta (Amir Masdi), Semacam Pandora (Hazama), Ke Mana Ni(Luca Sickta, Kmy Kmo, Salammusic) dan Lumangad Oku Dika nyanyian dan ciptaan sepenuhnya Ryenald Guntabid.
Barisan juri diketuai oleh Datuk Acis dengan LY, Ad Samad, Siti Hajar dan Efry Arwis yang turut memegang peranan sebagai juri.
AJL40 SA dihoskan oleh Fiza Frizzy dan Sissy Iman, manakala Tuju dan Kaka Azraff tampil menerusi persembahan interlud, pada episod malam tadi.
Sidang produksi AJL40 SA diketuai oleh Russell Mark Rodrigues sebagai pengurus projek,
Jamil Hassan sebagai penerbit eksekutif dan Mohd Jamira Ramli sebagai penerbit.










