Saya bukan perempuan yang suka bertukar pasangan - Utusan Malaysia

Saya bukan perempuan yang suka bertukar pasangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KISAH hubungan istimewa antara pelakon, Diana Danielle dengan jejaka berdarah campur Cina dan India, Bernard Vincent bukan lagi rahsia. Malah, akhir-akhir ini, Diana Danielle Dany Beeson terbuka berkongsi kepada media tentang pencuri hatinya yang empat tahun lebih berusia.

Benar, Diana dan jejaka yang mesra dipanggil Bern itu kini dalam fasa bahagia. Bahkan keduanya sedang mengenal hati budi masing-masing.

Tetapi, keduanya tidak terburu-buru untuk ke jenjang pelamin dan buat masa ini, belum merancang untuk membawa perhubungan mereka ke fasa yang lebih serius.

Bagi Diana, sekali lagi bergelar isteri bukan semudah ‘petik jari’. Dia perlukan masa memastikan jejaka itu bersedia bergelar pasangan hidupnya apatah lagi Bern berbeza agama.

“Saya tidak akan sesekali memaksa seseorang untuk menukar agama demi menerima saya dalam hidupnya.

“Kalau dia menerima Islam tapi tidak terbuka mendalami, saya risau keadaan bertukar sukar apabila kami berkahwin dan memiliki anak kelak.Oleh itu sekiranya dia tidak berkemampuan dari segi itu, adalah lebih baik saya tidak teruskan hubungan ini. Kerana itu perlunya saya mengambil masa untuk pastikan, dia benar-benar bersedia.

“Dan jika dia sedia peluk Islam, saya juga kena bersedia untuk membimbingnya. Itu satu tanggungjawab yang cukup berat. Apa pun sekiranya kami ditakdirkan berkahwin, saya anggap Allah telah mengurniakan rahmat yang cukup besar kerana memilih saya membimbing seseorang ke dalam agama,” ujarnya.

Kata Diana, keserasian hidup bersama juga menjadi perkara yang perlu diambil kira sebelum mendirikan rumah tangga. Justeru baginya penting untuk mengambil masa lama untuk mengenal hati budi bakal pasangan hidup.

“Setiap pasangan bercinta pasti inginkan hubungan mereka berakhir di jenjang pelamin. Tapi kami tidak mahu terburu-buru.

“Banyak hal yang perlu difikirkan, termasuklah kesediaan anak-anak saya, kerana mereka baru sahaja melalui fasa perceraian ibu bapa.

“Apa pun saya berharap hubungan ini bergerak ke arah yang lebih baik. Cuma sekarang ini saya sendiri belum dapat menen­tukan masa depan kami,” kongsinya.

Perlu teman hidup 

“Saya perlukan lelaki sebagai peneman.”

Demikian pengakuan jujur Diana. Dia menghormati prinsip wanita yang boleh hidup tanpa lelaki. Namun itu bukan dirinya.

Bagi pelakon filem Imaginur itu, hidup berpasangan merupakan antara nikmat kurniaan Allah yang wajar disyukuri.

“Sebagai wanita, kita tidak boleh nafikan hakikat yang kita perlukan pasangan hidup.

“Pasangan yang baik membantu saya membuat keputusan yang betul dalam hidup. Hidup saya lebih stabil ditemani lelaki yang hidupnya juga stabil. Saya perlukan teman, seorang lelaki yang boleh menasihatkan saya.

“Tapi sekarang ini, saya tidaklah bergantung sepenuhnya kepada teman lelaki kerana dia belum bergelar suami saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Diana menyifatkan Bern sebagai lelaki baik dan cukup bertanggungjawab.

“Dia lelaki bijak dan berkemampuan menjadi pembimbing. Dia juga menghormati saya. Saya selesa berkawan dengan dia kerana kami serasi dan mudah bertukar pandangan.

“Saya bukan wanita yang suka bertukar teman lelaki. Apabila berjumpa yang benar-benar serasi, saya akan usahakan agar hubungan kami berkekalan,” jelasnya.

Tempat Farid sebagai bapa tiada pengganti 

Membesar tanpa kasih sayang bapa, Diana sentiasa memastikan anak-anak hasil perkongsian hidup dengan Farid Kamil iaitu Muhammad dan Nur Aurora mendapat perhatian penuh ibu ayah mereka.

Bagi Diana, tiada mana-mana lelaki yang dapat menggantikan tempat Farid sebagai bapa anak-anaknya.

“Saya membesar tanpa bapa. Masa kecil saya selalu tertanya-tanya apa salah kami adik beradik sampai ditinggalkan bapa.

“Bapa saya pun bukan berjauhan. Selepas bercerai dengan ibu saya, dia berkahwin dengan orang tempatan dan menetap di Malaysia. Tapi bukan tanggungjawab saya untuk mencari dia.

“Sebab itu, saya dan Farid tidak akan tergamak abaikan anak. Saya ambil iktibar pengalaman hidup saya, jadi ibu yang baik. Saya juga bersyukur kerana Farid bapa yang bertanggungjawab,” kongsinya.

Dalam masa sama, Diana menyifatkan anak sebagai anugerah Tuhan paling bermakna dalam hidupnya.

“Anak-anak saya menyayangi ibu bapa mereka sepenuh hati. Saya bersyukur kerana mereka anak yang baik. Muhammad dan Nur Aurora sentiasa memberi semangat dan sokongan kepada kami.

“Saya dan Farid pastikan mereka dapat perhatian dan kasih sayang secukupnya. Tempat Farid tiada siapa boleh ganti. Sebagai bapa kepada anak-anak saya, kedudukan Farid di tahap yang sangat tinggi,” ceritanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN