PETALING JAYA: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, permohonan maaf secara peribadi kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dibuat selepas nasihat daripada institusi diraja Johor.
Beliau berkata, tindakan tersebut dibuat selepas beliau sebelum itu menggesa Zahid berundur susulan kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Katanya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, telah menasihati secara peribadi bahawa kenyataannya itu keterlaluan dan langkah terbaik adalah untuk memperbaiki keadaan.
“Mereka beritahu saya tidak mengapa untuk memohon maaf dan pergi berjumpa presiden saya. Kita ada sebuah negeri untuk ditadbir,” katanya dalam episod ke-200 podcast politik Keluar Sekejap.
Onn Hafiz berkata, beliau kemudiannya menemui Zahid dan memohon maaf tanpa sebarang syarat dan perkara tersebut kini dianggap selesai.
Pengakuan terbuka itu muncul selepas pengacara bersama, Shahril Hamdan, menyatakan bahawa Onn Hafiz adalah pemimpin UMNO pertama yang secara terbuka menggesa Zahid meletakkan jawatan selepas PRU15, namun tidak dikenakan tindakan disiplin, sedangkan Shahril sendiri digantung kerana kenyataan serupa. -UTUSAN










