Ekuinas komited laksana mandat

Ekuinas komited laksana mandat

SYED YASIR ARAFAT SYED ABD. KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

EKUITI Nasional Berhad (Ekuinas) sentiasa komited dalam melaksanakan mandatnya untuk meningkatkan ekuiti dan penyertaan bumiputera dalam sektor ekonomi.

Pelbagai inistiatif telah dilaksanakan Ekuinas sejak penubuhannya pada 2009 untuk mencapai mandat tersebut.

Antaranya, program ILTIZAM dan pelbagai lagi inisiatif di bawah Program Tanggungjawab Korporat (CSR) yang dijayakan bagi mencapai amanah diberikan.

Ikuti perkongsian Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, SYED YASIR ARAFAT SYED ABD. KADIR bersama UTUSAN MALAYSIA mengenai ILTIZAM dan program CSR yang telah dijalankan oleh Ekuinas.

UTUSAN: Boleh terangkan dengan lebih lanjut mengenai ILTIZAM dan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Ekuinas yang terkini? Apakah tujuan program-program ini dan matlamat yang ingin dicapai?
SYED YASIR: Mandat Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) sejak penubuhan pada 2009 adalah untuk meningkatkan ekuiti dan penyertaan bumiputera dari segi ekonomi dan juga sosial.

Selain daripada misi utama untuk melahirkan generasi sya­rikat peneraju Malaysia di kala­ngan usahawan bumiputera, kami sedar usahawan kecil dan sederhana yang berpotensi per­lu dibimbing, dimentor dan dibantu demi mencapai pertum­buhan keseluruhan secara mam­pan, dengan harapan syarikat-syarikat ini mampu bersaing dan menjadi peneraju di masa akan datang. Untuk mencapai matlamat ini, ILTIZAM ditubuhkan pada 2012 sebagai cabang Tanggungjawab Sosial Ekuinas.

Menerusi ILTIZAM, kita dapat meningkatkan kualiti hidup dan taraf sosioekonomi komuniti bumiputera melalui program-program khusus berimpak tinggi yang berfokus kepada tiga tunggak utama iaitu Keusahawanan, Pendidikan and Komuniti.

Izinkan saya perincikan program-program yang kami wujudkan:

ILTIZAM Keusahawanan:
Program Mentor Usahawan atau Entrepreneur Mentorship Programme (EMP) dicipta bagi membantu usahawan mikro dan syarikat kecil dan sederhana untuk mengembangkan perniagaan mereka secara kese­luruhan dan mampan sambil mengenal pasti dan menangani cabaran perniagaan utama yang sering dihadapi oleh para usahawan. Di bawah EMP ada tiga program:
* ILTIZAM Advance – membantu syarikat PKS bumiputera menjadi lebih berdaya saing melalui Value Creation Plans yang dirangka untuk mengatasi cabaran perniagaan yang spesi­fik. Sejak penubuhan, kami telah membantu 15 usahawan/syarikat PKS seperti Kapten Batik, Bibah Songket, Raw Denim House dan dalam program kini ialah Hutan Ration dan Eatalian Express antara lain.

* ILTIZAM Sosial – membantu usahawan social mencapai pendapatan yang lestari. Program-program dijayakan bersama dengan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

* ILTIZAM Ihsan – membantu usahawan mikro membangun semula perniagaan atau mengembangkan perniagaan. Inisiatif ini dilakukan dengan kerjasama sembilan agensi zakat peringkat negeri untuk mengenal pasti usahawan –usahawan yang komited dan memerlukan dari golongan asnaf dan B40. Setiap seorang usahawan yang terpilih diberi RM2,000 sebagai dana untuk membangunkan semula perniagaan mereka. Kami telah membantu 4,000 usahawan dengan dana RM8.5 juta pada 2021.

ILTIZAM Pendidikan:
* ILTIZAM Professional Development Programme (PDP) – Sebuah program yang menyediakan latihan khusus sepanjang 12 bulan untuk graduan-graduan dari komuniti B40 yang tidak berjaya mendapat pekerjaan. Sepanjang tempoh latihan, graduan ditempatkan di Ekuinas dan syarikat portfolio serta syarikat rakan kongsi Ekuinas untuk latihan sambil bekerja dan dibayar gaji penuh disamping pelbagai program latihan untuk mengasah kemahiran yang kritikal untuk bersaing di alam pekerjaan dan kerjaya. Setiap tahun Ekuinas melatih 75 orang graduan. Untuk PDP 2021, 91 peratus telah berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat latihan.

* Bagi golongan pelajar sekolah, Ekuinas menyumbangkan 350 buah laptop baharu melalui program Back-To-School Peranti bernilai RM1 juta untuk pelajar komuniti B40 Tingkatan 4 dan 5 dari sekolah-sekolah di kawasan Lembah Klang. Usaha ini dijayakan bersama Yayasan Didik Negara.

* Tatkala para pelajar kembali ke sekolah baru-baru ini, ILTIZAM membantu 765 orang pelajar komuniti B40 dari SK Bukit Lanjan, sebuah sekolah orang Asli di Selangor, SK Aring di Kelantan, dan kanak-kanak daripada keluarga kurang upaya penglihatan dari Yayasan Orang Buta Malaysia, dengan keperluan sekolah seperti pakaian seragam, kasut, stokin dan beg. RM90,000 yang dibelanjakan ke arah usaha ini adalah kos kecil kalau dibandingkan dengan senyuman dan kegembiraan yang terpapar di wajah anak-anak ini yang kini dapat melangkah dengan lebih yakin dan tampil segak ke sekolah.

* Untuk peringkat pengajian tinggi, pelbagai bantuan dan latihan disalurkan termasuk latihan pegawai juru kapal di Akademi Laut Malaysia untuk 22 orang pelajar bagi mengemudi bot/vasel sokongan untuk industri minyak dan gas. Mereka ditempatkan sebagai jurukapal di syarikat portfolio kami, ICON Offshore Berhad dan ORKIM.

* ILTIZAM turut memberi sumbangan untuk memajukan pembelajaran dengan menyediakan kelengkapan sekolah, penambahbaikan infrastruktur dan fasiliti. Salah satu projek ialah Project Alternative Lear­ning Centre Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan di mana ILTIZAM menyediakan lima kabin/kontena yang dilengkapkan dengan bilik darjah, bilik guru dan tandas di perkampungan orang Asli ini. Projek ini bertujuan untuk membantu pelajar di komuniti tersebut supaya tidak ketinggalan dalam akademik dan pem­be­lajaran. Fasiliti ini turut digunakan untuk pembelajaran dan aktiviti komuniti dewasa selain kanak-kanak.

* Di bawah program Live and Learn, kami meneruskan komitmen untuk membantu pelajar institusi pendidikan dalam portfolio Ekuinas dan komuniti B40. Sebanyak RM1 juta telah disalurkan kepada Kolej Cosmopoint dan Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur serta UNITAR International University untuk pelbagai program yang memberi manfaat kepada lebih 2,000 pelajar dari komuniti B40, graduan serta masyarakat setempat. Subsidi yuran pengajian dan yuran asrama secara on-off disediakan untuk pelajar B40 bagi membolehkan mereka menerus dan menamatkan pengajian tinggi.

ILTIZAM Komuniti
* Di bawah ILTIZAM Komuniti, beberapa program telah diperuntukan untuk membantu segmen komuniti yang memerlukan. Memandangkan wabak Covid-19 yang berleluasa tahun lepas, program-program kami bertumpukan sokongan kepada frontliners seperti menyediakan peralatan PPE di mana kita melatih banduan juvana di Sekolah Henry Gurney, Melaka menghasilkan 3,200 set PPE yang diedarkan ke Hospital Melaka dan Penjara Melaka. Usaha ini juga mengasah bakat menjahit dalam kalangan banduan, dengan harapan mereka akan dapat bekerja dan berdikari apabila keluar nanti.

* Kami juga turut menghulurkan bantuan makanan untuk frontliners yang dihasilkan oleh syarikat portfolio kami – Tony Roma’s, Manhattan Fish Market, New York Steak Shack dan juga pembekal-pembekal lain.

* Bantuan kemanusiaan semasa bencana banjir berupa barangan rumah dan bakul makanan diagihkan di Selangor dan Pahang.

* Pada bulan Ramadhan, ILTIZAM telah menyumbang lebih daripada RM200,000 dan mengagih lebih daripada 1,000 bakul makanan dan 1,000 juadah berbuka puasa untuk golongan asnaf dan golongan kurang upaya penglihatan bagi meringankan beban serta membawa sedikit keriangan pada bulan yang sangat bermakna.

SYED Yasir Arafat Syed Abd. Kadir (kiri) menyampaikan sumbangan sempena hari raya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ada tak inisiatif membantu komuniti yang terhimpit dan terputus sumber pendapatan susulan penularan Covid-19 dan tragedi banjir baru-baru ini?
Ya, dalam membantu komuniti B40 yang terkesan akibat wabak Covid-19, kami menubuhkan dana khas iaitu Dana Ihsan Covid-19 ILTIZAM pada 2020 lagi, yang bernilai RM7.2 juta. Melalui dana ini, kami membantu komuniti yang terhimpit, yang hilang sumber pendapatan, termasuk keluarga Ekuinas iaitu kakitangan Ekuinas dan kakitangan syarikat portfolio kami sama ada yang dahulu ataupun kini, juga graduan dan bekas graduan program PDP kami. Kami menyalurkan dana, bekalan makanan, peralatan perniagaan dan perubatan. Kami juga menyumbang dana kepada peniaga mikro untuk membangun semula perniagaan atau beralih ke perniagaan baru sebagai usaha memulihkan sumber pendapatan.

Program ini, seperti program-program yang lain, dilaksanakan dengan garis panduan tadbir urus dan pemantauan demi pelaksanaan yang berkesan.
Kami peka dan sentiasa memberi keutamaan terhadap isu-isu semasa dan kritikal di mana kami menumpukan usaha terhadap aktiviti pemulihan ekonomi termasuk pencarian pendapatan, pembangunan semula perniagaan untuk usahawan bumiputera.

Berapakah jumlah sumbangan dana yang diberikan dan bilangan individu yang menerima sumbangan daripada ILTIZAM secara keseluruhannya?
Pada 2021, ILTIZAM telah menyumbang RM17.5 juta demi membantu 14,000 individu, isi rumah dan perniagaan:

ILTIZAM Keusahawanan
* Sebanyak RM8.9 juta telah disalurkan dan telah memanfaatkan lebih 4,000 penerima terutamanya golongan asnaf dan usahawan mikro. Ini merekodkan bilangan usahawan yang paling tinggi yang Ekuinas telah membantu dalam tempoh satu tahun.

* Kami akan meneruskan inisiatif untuk melatih usahawan dan menyokong pembinaan perniagaan yang mampan meskipun dalam landskap ekonomi yang mencabar.

ILTIZAM Pendidikan
* Sebanyak RM7.6 juta telah disalurkan dan telah memanfaatkan komuniti B40 dari peringkat sekolah sehingga graduan-graduan lepasan universiti.

ILTIZAM Komuniti
* RM 1 juta telah disalurkan kepada 9,000 penerima daripada kategori B40, komuniti orang kurang upaya dan anak yatim.

Sumbangan pada 2021 membawa jumlah sumbangan Ekuinas terhadap tanggungjawab sosial korporat kepada RM68.3 juta sejak penubuhannya pada 2009.

Adakah pihak-pihak atau rakan-rakan kongsi lain terlibat di dalam bantuan yang diberikan melalui program komuniti ILTIZAM dan siapakah mereka?
Demi kecekapan operasi dan untuk memastikan kami dapat membantu komuniti yang bukan sahaja di Lembah Klang tetapi di setiap pelusuk negara, kami bekerjasama dengan pelbagai NGO berdasarkan lokasi dan aktiviti fokus mereka, dalam melaksanakan program komuniti ILTIZAM di seluruh negara. Bantuan diberi dalam bentuk wang tunai atau barang keperluan/asas dan kami juga melibatkan warga kerja Ekuinas sebagai peluang berbakti kepada komuniti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN