PETALING JAYA: IJM Corporation Berhad (IJM), menerusi anak syarikat milik penuhnya, Fairview Valley Sdn Bhd (Fairview Valley), memeteraikan perjanjian langganan bagi cadangan Sukuk Murabahah sulungnya bernilai RM360 juta.
Perjanjian yang dimeterai bersama CIMB Investment Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB) tersebut akan melibatkan terbitan sukuk di bawah Program Nota Jangka Sederhana Islam berdasarkan prinsip Syariah Murabahah (melalui pengaturan Tawarruq) (Program Sukuk Murabahah).
CIMB bertindak sebagai pengatur utama, pengurus utama dan penasihat syariah tunggal untuk program Sukuk Murabahah, yang juga akan dilanggan sepenuhnya oleh CIMB.
Selain sebagai terbitan sukuk tersebut, urus niaga itu juga menggabungkan ciri berkaitan kemampanan dengan sasaran yang telah dipersetujui lebih awal.
Syarat-syarat urus niaga termasuk ciri seperti penunjuk prestasi kecekapan tenaga dan air serta komposisi aset tenaga boleh diperbaharui.
Rebat keuntungan akan diberikan sekiranya Fairview Valley mencapai sasaran ini, sekali gus mengurangkan kos keseluruhan pembiayaan di samping memajukan amalan kemampanan.
Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Timbalan Pengarah Urusan IJM, Lee Chun Fai yang mewakili IJM manakala CIMB pula diwakili oleh Ketua Kumpulan Perbankan Korporat Kumpulan CIMB, Lo Nyen Khing dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment, Nor Masliza Sulaiman.
Chun Fai berkata, hasil daripada terbitan Sukuk Murabahah tersebut akan digunakan untuk membiayai semula kemudahan sedia ada Fairview Valley yang telah digunakan untuk membiayai pembinaan Menara Prudential.
“Kami berbangga kerana Menara Prudential dibiayai dengan kemudahan yang menggabungkan ciri berkaitan kemampanan dan kami tidak mungkin menemui rakan kongsi yang lebih baik daripada CIMB.
“Ini menandakan langkah pertama dan penting bagi IJM dalam menyelaraskan strategi pembiayaan syarikat dengan agenda kemampanan kami,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN










