Sime Darby jual Pelabuhan Weifang RM1.27 bilion

Sime Darby jual Pelabuhan Weifang RM1.27 bilion

Penjualan Pelabuhan Weifang menyaksikan Sime Darby tidak lagi terlibat dalam perniagaan bidang pelabuhan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Berhad melupuskan Pelabuhan Weifang di China pada harga 1.92 bilion yuan (RM1.27 bilion) melalui perjanjian jualan saham dengan SPG Bohaiwan Port Group Company Limited.

Penjualan menerusi anak syarikat milik penuh tidak langsung Kumpulan, Sime Darby Overseas (HK) Limited (SDOHK) itu sekali gus menandakan pengakhiran perniagaan kumpulan dalam bidang pelabuhan yang bukan perniagaan terasnya.

Di samping hasil pelupusan tersebut, SDOHK akan menerima jumlah indikatif sebanyak 541 juta yuan (RM357 juta) sebagai bayaran balik bagi pinjaman pemegang saham.

SPG Bohaiwan Port Group adalah sebahagian daripada Shandong Port Group Co. yang ditubuhkan oleh kerajaan wilayah Shandong untuk menyatukan aset pelabuhan di wilayah tersebut.

Hasil daripada jualan syarikat-syarikat Pelabuhan Weifang oleh Sime Darby akan digunakan sebagai dana pelaburan dalam perniagaan teras kumpulan dalam sektor Perindustrian dan Automotif pada masa depan, untuk perbelanjaan modal atau pembayaran balik pinjaman jangka pendek.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, sebahagian besar daripada pelan penyusunan semula aset bukan teras kumpulan telah dicapai dengan penjualan
syarikat-syarikat Pelabuhan Weifang, iaitu perniagaan terakhir yang dimiliki dalam bahagian logistik.

“Tempoh beberapa tahun lepas ini amat mencabar bagi sektor pelabuhan dan kami terhutang budi kepada kerajaan wilayah Shandong kerana menyempurnakan penjualan ini, lantas membolehkan kami menyalurkan dana yang diraih untuk mengembangkan perniagaan teras kami.

“China kekal sebagai antara pasaran penting yang menyumbang hampir 40 peratus daripada hasil kumpulan. Perniagaan perindustrian dan automotif di sana meliputi 120 lokasi dan 14 wilayah.

“Kami berharap untuk menyalurkan hasil yang diterima daripada pelupusan ini untuk meluaskan dan mengukuhkan kedudukan kami dalam sektor perindustrian dan automotif di China seterusnya menerokai peluang dalam pasaran lain,” katanya.

Beberapa tahun kebelakangan ini, Sime Darby secara beransur-ansur melupuskan aset yang telah dikenal pasti bukan teras, sebagai sebahagian daripada usaha kumpulan untuk menyelaraskan portfolio dan menggunakan semula modal untuk menyokong pertumbuhan perniagaan teras dalam bidang Perindustrian dan Automotif.

Pelupusan ini termasuk penjualan perniagaan pengurusan air di Weifang, kepentingan dalam Tesco Malaysia, Eastern & Oriental Berhad dan tiga pelabuhan sungai di Jining.

Perjanjian jual beli saham dijangka selesai menjelang suku keempat 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN