Permohonan pinjaman beli rumah merosot

Permohonan pinjaman beli rumah merosot

Minat belian hartanah yang suram, mendorong kepada kejatuhan permohonan pinjaman. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran hartanah masih belum menunjukkan pemulihan apabila jumlah permohonan pinjaman bagi pembelian rumah merosot kepada RM4.02 bilion pada Mei lalu.

MIDF Research dalam nota penyelidikannya berkata, secara kumulatif, jumlah pinjaman untuk pembelian hartanah dalam lima bulan pertama 2022 tidak menunjukkan perubahan ketara iaitu pada RM191.8 bilion.

Katanya, ia menunjukkan minat belian adalah suram walaupun aktiviti ekonomi dibuka semula.

“Permohonan pinjaman pada Mei 2022 lembap berikutan penurunan sebanyak 6.3 peratus tahun ke tahun pada bulan sebelumnya.

“Permohonan pinjaman rumah mulai merosot pada bulan April selepas ia jatuh buat kali pertama dalam tempoh tujuh bulan,” katanya dalam nota kajian.

Namun, firma penyelidikan itu berkata, jumlah pinjaman yang diluluskan untuk pembelian hartanah lebih tinggi pada RM15.7 bilion, meningkat 6.9 peratus tahun ke tahun pada Mei 2022 walaupun permohonan pinjaman lebih rendah

Perkembangan itu disebabkan peratusan lebih tinggi daripada jumlah pinjaman yang diluluskan berbanding pinjaman dimohon iaitu 39 peratus berbanding 35.8 peratus pada Mei 2021.

“Secara kumulatif, jumlah pinjaman yang diluluskan dalam tempoh lima bulan ini meningkat 13.7 peratus kepada RM74.9 bilion, menunjukkan prospek jualan hartanah yang lebih baik untuk pemaju.

“Namun, kami merasakan bahawa syarat bank yang ketat masih menjadi cabaran untuk syarikat hartanah memandangkan peratusan pinjaman yang diluluskan berbanding pinjaman dimohon untuk membeli rumah kekal di bawah 40 peratus pada Mei,” katanya.

Menurut nota kajian, tinjauan jualan bagi syarikat hartanah adalah kurang memberangsangkan dengan sentimen pengguna dijangka lemah disebabkan peningkatan inflasi.

“Disebabkan itu, kami mengekalkan pandangan neutral terhadap sektor hartanah. Saranan ‘beli’ bagi sektor ini adalah saham Mah Sing dengan harga sasaran 74 sen dan IOI Properties Group pada harga sasaran RM1.29,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN