Pembiayaan hijau: AmBank, Sime Darby Property jalin kerjasama

Pembiayaan hijau: AmBank, Sime Darby Property jalin kerjasama

SULAIMAN Mohd. Tahir (kiri) dan Azmir Merican (kanan) pada majlis permeteraian kerjasama antara Pengarah Urusan Perbankan Runcit AmBank Group, Aaron Loo Boon Seng (dua kiri) dan Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran Sime Darby Property, Datuk Lai Shu Wei di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AmBank Group (AmBank) dan Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menawarkan pembeli hartanah kaedah pembiayaan mampan (sustainable financing) yang baharu bagi pembelian rumah Sime Darby Property.

Ketua Pegawai Eksekutif AmBank Group, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, Kumpulan telah melihat permintaan yang semakin meningkat untuk pembiayaan berkaitan kelestarian kerana kesedaran yang semakin meningkat untuk memerangi perubahan iklim.

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Sime Darby Property sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk menawarkan pelanggan kami dengan pilihan pembiayaan hijau kerana ia melengkapkan lagi matlamat kami dalam memacu inisiatif kelestarian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Kumpulan,” katanya dalam kenyataan.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican pula berkata, persefahaman itu dapat melonjakkan kedudukan Sime Darby Property melalui inisiatif digital untuk membekalkan pembeli rumah dengan pengalaman pembelian hartanah yang lebih senang dan menyeluruh.

“Kami adalah satu daripada beberapa, jika bukan satu-satunya, pemaju hartanah yang menyediakan kemudahan penjualan digital dan dalam talian yang lengkap untuk pelanggan.

“Inovasi dalaman kami seperti Sistem Tempahan Dalam Talian dan Galeri Jualan Maya dengan pasukan perundingan dalaman yang berdedikasi telah memberikan kemudahan yang signifikan bagi pembeli rumah untuk melihat, mendaftar, memilih rumah impian mereka dan menyelesaikan pembayaran dalam talian. Kerjasama ini melengkapkan dan menyempurnakan ekosistem,” katanya.

Dalam pada itu, Sime Darby Property Berhad kekal optimis dengan prospek industri hartanah domestik, meskipun menjangkakan akan ada kenaikan dalam kos pinjaman perumahan susulan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM), esok.

Azmir Merican berkata, industri telah beroleh manfaat daripada persekitaran kadar faedah yang rendah buat sekian lama dan meskipun peningkatan berlaku, ia dijangkakan pada kadar yang kompetitif.

“Saya fikir kita masih dalam suasana yang mana kadar faedah adalah sederhana dan pada harga yang baik, jadi permintaan akan kekal ada.

“Dua cabaran utama yang dihadapi industri tahun ini ialah kenaikan bahan binaan, diharap ia akan kembali stabil apabila rantaian bekalan kembali normal dan satu lagi ialah kekurangan tenaga buruh yang merupakan satu isu utama bagi kami,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran inisiatif digital dan solusi pembiayaan hijau untuk pembeli hartanah menerusi memorandum persefahaman yang ditandatangani antara Sime Darby Property dan AmBank Group.

Menerusi kerjasama berkenaan, pembeli hartanah ditawarkan kaedah pembiayaan yang mampan untuk membeli rumah Sime Darby Property, selain pengalaman pelanggan lancar menerusi proses permohonan pinjaman yang dipermudahkan menggunakan platform digital AmBank.

AmBank turut menyediakan kadar pembiayaan kompetitif serendah 2.95 peratus, manakala pembeli akhir bagi produk perindustrian di Elmina Business Park ditawarkan margin of advance sehingga 200 peratus untuk perusahaan kecil dan sederhana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN