PETALING JAYA: Projek kediaman MET 1 Residences di KL Metropolis oleh Naza TTDI Sdn. Bhd. (Naza TTDI) bakal siap pada suku keempat tahun ini setelah majlis penyempurnaan binaan bangunan dilakukan baru-baru ini.
Dengan rekabentuk ringkas dan elegan, menara 55 tingkat itu didirikan berhadapan hab komuniti bersepadu KL Metropolis seluas 75.5 ekar yang akan menjadi pusat perdagangan dan pameran antarabangsa di Kuala Lumpur.
Keseluruhan pembangunan bersepadu MET 1 dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM 1.37 bilion terdiri daripada menara pejabat, pangsapuri servis Somerset, MET 1 Residences dan pusat beli-belah tiga tingkat, sedang dibangunkan.
MET 1 menawarkan kediaman ideal bagi mereka yang ingin menikmati kemudahan moden dan pelbagai akses mudah serta dilihat sebagai ‘Gateway’ ke pusat bandar baharu dipanggil KL Metropolis.
Ketua Pegawai Eksekutif Naza TTDI, Daniel Lim berkata, pembinaan MET 1 Residences kini mencapai tingkat tertinggi iaitu tingkat 55 meskipun selepas dua tahun mengharungi pandemik.
“Pencapaian ini membuktikan komitmen Naza TTDI untuk menyiapkan projek ini sepenuhnya walaupun melalui waktu sukar.
“Projek ini juga merangkumi usaha Kumpulan Naza dalam mengadaptasi konsep Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam perniagaan kami.
“Pendekatan ESG memerlukan komitmen mendalam terhadap penjagaan alam sekitar, tanggungjawab sosial dan tadbir urus yang baik serta aspirasi untuk menjadi peneraju dalam industri. Kelestarian adalah keutamaan di mana kemudahan mestilah mesra alam, bagi memastikan kesejahteraan masyarakat setempat dan menangani tuntutan keperluan berikutan pandemik,” katanya dalam kenyataan.
Naza TTDI, cabang pembangunan hartanah Kumpulan Naza, konsisten dalam melaksanakan pelbagai projek termasuk KL Metropolis. Selain pembangunan utama ini, pembangunan signifikan lain adalah Taman Tun Dr. Ismail, TTDI Alam Impian, Stadium Malawati, Masjid Al-Ikhlas, TTDI Jaya, dan TTDI Grove.
Portfolio hartanah Naza TTDI termasuk Taman Platinum di Kuala Lumpur dan Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). – UTUSAN










