PETALING JAYA: Pengecualian duti setem bagi pembeli rumah pertama hanya memberi impak minimum kepada sektor hartanah memandangkan insentif yang ditawarkan dilihat kurang menarik.
Inisiatif pemilikan perumahan Keluarga Malaysia atau i-Miliki yang diumumkan kerajaan itu menawarkan pengecualian duti setem 50 hingga 100 peratus membabitkan pemberian insentif pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama, secara peringkat atau tier harga rumah.
Bagi rumah berharga RM500,000 dan ke bawah, insentif pengecualian duti setem sebanyak 100 peratus manakala bagi rumah berharga melebihi RM500,000 sehingga RM1 juta, insentif pengecualian sebanyak 50 peratus.
Penganalisis CGS-CIMB Research, Ngo Siew Teng berkata, inisiatif tersebut beri impak positif kepada pemaju tetapi tidak begitu ketara memandangkan pengecualian duti setem 100 peratus bagi rumah berharga di bawah RM500,000 sudah diberikan sebelum ini yang sah sehingga Disember 2025.
Selain itu katanya, tidak ada minimum 10 peratus diskaun bagi hartanah kediaman di bawah Program Pemilikan Rumah (HOPE), seperti yang pernah ditawarkan di bawah Kempen Pemilikan Rumah (HOC) pada 2019 dan 2020/2021.
“Skim i-Miliki pula hanya ditawarkan kepada pembeli rumah pertama (berbanding HOC, memberi liputan yang lebih meluas),” katanya dalam nota kajian.
Ia mendorongnya mengekalkan pandangan ‘neutral’ terhadap sektor hartanah memandangkan ketidaktentuan seperti kenaikan kadar faedah dan inflasi, akan terus menjejaskan sentimen pembelian.
Menurut Siew Teng, faktor-faktor berkenaan akan terus mempengaruhi pertimbangan pembeli sama ada ingin membuat pembelian dengan komitmen yang besar ketika berdepan tempoh mencabar ini.
“Tambahan pula harga hartanah yang telah meningkat lebih sekali ganda sejak 2009 walaupun kerajaan memperkenalkan insentif berkenaan.
“Kami melihat kenaikan kadar faedah pada separuh kedua ini, rumah tidak terjual yang masing tinggi dan kos bahan binaan yang tinggi akan terus mempengaruhi sektor hartanah,” ujarnya.
Sementara itu, penganalisis RHB Investment Bank Research, Loong Kok Wen berkata, impak kepada keseluruhan pasaran hartanah agak minimum meskipun insentif diumumkan kerajaan itu dapat membantu merangsang sedikit permintaan, terutamanya untuk hartanah berharga melebihi RM500,000.
Katanya, kebimbangan mengenai tekanan makroekonomi, termasuk tekanan inflasi yang meningkat dan kelemahan ringgit, akan menghalang permintaan untuk hartanah dalam tempoh enam bulan akan datang.
“Ditambah dengan jangkaan kadar faedah yang lebih tinggi, ramai bakal pembeli hartanah mungkin akan menahan pembelian mereka dalam tempoh terdekat.
“Malah, kami juga dapati terdapat sebahagian pemaju masih menawarkan pengecualian duti setem bagi beberapa produk sebagai kesinambungan daripada HOC bagi merangsang permintaan,” katanya. – UTUSAN










