Boustead Properties, FRIM Incorporated pulihara sungai

Boustead Properties, FRIM Incorporated jalin usahasama pulihara sungai

MAJLIS menanam beberapa anak pokok untuk menandakan usaha bersama Boustead Properties, GreenRE dan FRIM Incorporated ke arah mewujudkan kehidupan hijau yang mampan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Boustead Properties Bhd. (Boustead Properties) menjalin kerjasama dengan FRIM Incorporated Sdn. Bhd. bagi memulihara taman sungai pertama sepanjang 2.1 kilometer di Mutiara Hills, Semenyih.

Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Properties, Khairul Azizi Ismail berkata, pemuliharaan taman sungai yang merupakan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) itu menyumbang ke arah membina semangat kemasyarakatan yang lebih kukuh di perbandaran pintar bersepadu seluas 485.6 hektar.

Katanya, projek yang sedang dibangunkan selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) dan dianugerahkan dengan pensijilan GreenRE kerana menjadi pembangunan perbandaran yang mengutamakan kepentingan kemapanan dan prinsip mesra alam dalam reka bentuk dan pembinaannya.

Jelasnya, taman sungai dan pensijilan hijau adalah bukti bagaimana pemaju tersebut membina hartanah mampan dengan menegakkan nilai ESG.

“Sebagai pemaju yang bertanggungjawab, kami boleh meminimumkan kesan negatif terhadap alam sekitar, sambil membenarkan pembangunan dan komuniti kami berkembang maju sepenuhnya.

“Kami akan terus meneroka dan memanfaatkan pelbagai sumber tenaga boleh diperbaharui untuk mencapai pembangunan karbon hampir sifar dengan mobiliti pintar, sistem pengurusan air yang cekap dan ciri mesra alam yang lain untuk menggalakkan kebolehhidupan,” katanya dalam kenyataan.

Majlis menandatangani kerjasama tersebut dilakukan antara Khairul Azizi dan Ketua Pegawai Operasinya, Eason Phan bersama Ketua Pegawai Eksekutif FRIM Incorporated, Wan Jusaini Rizal dan Ketua Projek, Dr. Ahmad Nazaradi.

Sementara itu, Khairul Aziz berkata, satu aktiviti penanaman pokok turut diadakan dengan pengurusan kanan Boustead Properties, FRIM Incorporated dan GreenRE menanam beberapa anak pokok untuk menandakan usaha bersama mereka ke arah mewujudkan kehidupan hijau yang mapan.

Menurutnya, pengunjung yang menghadiri Karnival Hijau berpeluang menyertai pelbagai aktiviti seperti bengkel terarium, pameran tanaman semaian dan bermain layang-layang.

“Karnival Hijau tersebut bertujuan untuk mempamerkan kepentingan alam sekitar dan komuniti dalam pembangunan perbandaran utamanya di Semenyih.

“Penekanan nilai ESG membolehkan kami menggambarkan asas pembangunan Mutiara Hills yang merangkumi perlindungan alam sekitar, menggalakkan mobiliti dan memupuk penglibatan masyarakat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN