OHH Bakery & Cafe gabungan cita rasa tiga wanita - Utusan Malaysia

OHH Bakery & Cafe gabungan cita rasa tiga wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA dengan menjual Durian Crepe D24 secara kecil-kecilan, tiga wanita kini mengorak langkah lebih tinggi dengan membuka sebuah kafe, OHH Bakery & Cafe yang menghidangkan pencuci mulut berkualiti tinggi berasaskan gaya mewah cef Perancis.

Walaupun berbeza latar belakang, Nur Syahidah Zolbahare, Nur Shazwani Abdul Rahman dan Siti Mastura Mohamad berjaya membuktikan mereka mampu menjayakan sesebuah perniagaan dengan menggabungkan keunikan dan cita rasa mereka yang tersendiri.

Menurut Syahidah yang merupakan graduan Diploma Pengurusan Hotel, pengalaman selama 11 tahun dalam bidang perniagaan bakeri telah membantunya menghasilkan hidangan yang mengikut cita rasa pelanggan.

“Saya terlibat secara langsung dengan pembikinan produk, jadi saya dan pasukan akan pastikan hasilnya akan memuaskan hati pelanggan dan membuatkan mereka kembali lagi untuk merasai keenakan yang sama.

“Disebabkan pengalaman bekerja di hotel sebelum ini, jadi saya sangat menitikberatkan setiap hidangan yang dihasilkan perlu bersih, segar dan premium,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menjadikan hidangan pencuci mulut sebagai produk utama, Syahidah berjaya menghasilkan resipi tersendiri, termasuk Durian Crepe D24 yang amat digemari pelanggan.

“Pada awalnya, kami hanya mengusahakan perniagaan secara dalam talian dengan hanya satu menu iaitu Durian Crepe D24. Kerana keenakannya yang lain daripada Durian Crepe yang berada di pasaran, produk tersebut mendapat sambutan menggalakkan dan dari situ timbul idea untuk kami kembangkan perniagaan menerusi pembukaan kafe pula,” ujarnya.

Jenama OHH Bakery & Cafe dibuka pada awal tahun ini dan merupakan anak syarikat Ohh Group Sdn. Bhd. yang dimiliki 100 peratus oleh Bumiputera.

Antara hidangan pencuci mulut yang menjadi sambutan pelanggan ialah Japanese Creampuff, aneka tart (Tart Strawberi, Tart Coklat, Tart Bluberi dan Tart Lemon Marinqe), Kek Lobak Merah, Kek Sandwic Victoria serta lebih 50 menu hidangan manisan lain.

Tidak ketinggalan, di Ohh Bakery & Cafe, terdapat juga hidangan panas yang sangat istimewa seperti Pasta Telur Masin Berkrim dengan Ayam Berempah, Pasta Lemak Cili Padi Udang, Kroisan Daging dan pelbagai lagi.

Sementara itu, Shazwani yang merupakan graduan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata, dia sangat menekankan tentang persembahan produk bagi memastikan setiap makanan yang dihidangkan bukan sahaja sedap, malah dihidangkan dengan cantik kepada pelanggan.

“Jika sebelum ini, kita lihat kebanyakan hanya hotel-hotel terkemuka atau restoran sahaja yang menyediakan persembahan produk yang menarik, namun mereka dapat menikmati seni kulinari yang sama di OHH Bakery & Cafe.

“Konsep ini menjadi antara keunikan yang membezakan kami dengan kafe-kafe lain. Selain itu, kita juga menekankan konsep halal kerana kebanyakan kafe dibuka kadang kala meragukan kerana dimiliki oleh bukan Bumiputera. Di OHH Bakery, usah risau kerana ia dimiliki 100 peratus oleh Bumiputera dan tentunya halal,” ujarnya.

Bagi Mastura pula, yang merupakan graduan di Institut Media Integratif Malaysia (MIIM) Akademi TV3, gabungan ketiga-tiga mereka secara tidak langsung dapat memberi inspirasi kepada orang ramai untuk memulakan perniagaan.

“Walaupun diuji dengan pandemik Covid-19 yang menyebabkan perniagaan bakeri diusahakan selama ini merosot, kami tidak mahu terus jatuh terduduk, malah terus bangkit meneruskan perniagaan dan berazam untuk mengembangkan lagi produk ke seluruh negara.

“Walaupun kafe pertama ini masih baru, kami sudah mempunyai perancangan untuk membuka cawangan kedua di kawasan Lembah Klang dalam tahun ini juga,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya