PETALING JAYA: Jumlah perdagangan Malaysia pada 2021 merekodkan pencapaian baharu, melepasi RM2 trilion dan mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak 1994, menurut Jabatan Perangkaan.
Ini disusuli nilai perdagangan Malaysia yang pulih semula dengan pertumbuhan dua angka 24.8 peratus kepada RM2.2 trilion berbanding RM1.8 trilion pada 2020, selepas mencatatkan pertumbuhan negatif selama dua tahun berturut-turut.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, semua negeri mencatatkan peningkatan jumlah dagangan yang didominasi Selangor (RM112.6 bilion), Pulau Pinang (RM94.4 bilion) dan Johor (RM87.4 bilion).
Selain itu katanya, eksport Malaysia bernilai RM1,239.8 bilion pada 2021, meningkat 26 peratus berbanding RM983.8 bilion pada 2020.
“Eksport lebih tinggi direkodkan bagi semua negeri iaitu Selangor (RM62.8 bilion), Pulau Pinang (RM49.9 bilion), Johor (RM47.9 bilion), Sarawak (RM17.6 bilion), Kedah (RM12.8 bilion), dan Kuala Lumpur (RM12.1 bilion).
“Turut mencatat peningkatan ialah Perak (RM11.3 bilion), Sabah (RM10.4 bilion), Pahang (RM10.3 bilion), Terengganu (RM8.5 bilion), Melaka (RM7.9 bilion), Negeri Sembilan (RM3.1 bilion), Labuan (RM1 bilion), Perlis (RM177.2 juta) dan Kelantan (RM97.1 juta),” katanya.
Beliau berkata, antara lima negeri pengeksport utama, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 29.3 peratus, diikuti Johor (20.6 peratus), Selangor (19 peratus), Sarawak (6.8 peratus) dan Kuala Lumpur (3.5 peratus).
“Pengembangan eksport disokong oleh eksport litar elektronik bersepadu yang kukuh di Pulau Pinang.
“Selain itu, eksport yang tinggi dicatatkan di Johor disumbangkan oleh produk petroleum bertapis, manakala sarung tangan getah merupakan penyumbang utama eksport di negeri Selangor. Gas asli cecair (LNG) pula merupakan penyumbang utama eksport di Sarawak,” ujarnya.
Menurut Mohd. Uzir, import turut mencatatkan peningkatan sebanyak 23.3 peratus kepada RM987.2 bilion pada 2021 berbanding RM800.5 bilion pada tahun sebelumnya dan peningkatan import dicatatkan di Selangor (RM49.8 bilion), Pulau Pinang (RM44.5 bilion) dan Johor (RM39.5 bilion).
Bagaimanapun ujarnya, nilai import merosot di Sabah sebanyak RM8.7 bilion dan Labuan (RM908.4 juta).
“Import yang tinggi dicatatkan di Selangor dan Kuala Lumpur yang disumbangkan oleh barangan elektrik dan elektronik lain.
“Di samping itu, litar elektronik bersepadu menjadi penyumbang utama import di Pulau Pinang dan Kedah manakala keluaran petroleum bertapis merupakan penyumbang utama import di Johor,” ujarnya.