BAGAN SERAI: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menyokong usaha melindungi dan mengetengahkan nilai-nilai sejarah negara supaya membawa pulangan kepada masyarakat.
Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd. Annuar Zain berkata, berlaku keadaan di mana masyarakat tidak berminat untuk mencatatkan sejarah.
“Umpamanya apabila saya mula-mula menjadi Pengerusi Hospital Universiti Malaya (UM), saya bertanyakan adakah kita mempunyai rekod bayi pertama yang dilahirkan di hospital ini.
“Tiada siapa yang boleh menjawab soalan itu. Sebab kita tidak berminat membina dan mencatat sejarah.
“Barang kali bayi pertama yang dilahirkan itu telah menjadi seseorang yang dikenali,” katanya kepada Utusan Malaysia semasa menjadi tetamu utama program Singgahsana Budaya Kuala Kurau 1827 di sini, kelmarin.
Mohd. Annuar mengadakan lawatan ke Masjid Batu 1884 iaitu antara masjid warisan tertua di Kuala Kurau dan merasmikan Kilang Beras Yop Zainan Sdn. Bhd. yang telah beroperasi sejak 1996, selain meninjau Galeri Singgahsana Budaya Kuala Kurau 1827 yang mempamerkan sejarah industri padi serta beras di kawasan itu.
Mohd. Annuar berkata, kurang kesungguhan terhadap sejarah juga dapat dilihat apabila banyak bangunan yang berpotensi sebagai aset bersejarah, begitu mudah diruntuhkan sedangkan sangat diminati oleh pelancong asing.
Beliau mahu perkara itu ditangani melalui sistem pendidikan supaya usaha merekod dan melindungi nilai sejarah dapat dipupuk bermula di peringkat golong muda, seawal di bangku sekolah.
Katanya, sokongan akan diberikan terhadap segala usaha bagi meningkatkan nilai sejarah termasuk mencadangkan satu ruangan dalam bangunan MAIPk dijadikan sebagai galeri sejarah. – UTUSAN









