EKSPO 2025 Osaka adalah landasan strategik untuk memperkenalkan kekuatan dan keunikan pendidikan tinggi negara kepada dunia. Penyertaan rasmi dalam Pavilion Malaysia yang dikelolakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) digunakan sepenuhnya untuk menonjolkan kualiti akademik, inovasi penyelidikan serta keterbukaan institusi pendidikan tinggi (IPT) Malaysia kepada kerjasama global.
Minggu Pendidikan Tinggi yang bertemakan Belajar di Malaysia memberi tumpuan kepada usaha menarik lebih ramai pelajar antarabangsa menyambung pengajian di Malaysia, di samping memperlihatkan pencapaian dan kejayaan IPT negara melalui hasil inovasi dan penyelidikan berimpak tinggi.
Landskap pendidikan tinggi Malaysia terus berkembang sebagai hab serantau yang menawarkan program pengajian bertaraf antarabangsa dengan nilai tambah kekuatan tempatan. IPT di Malaysia sentiasa bersedia menjalinkan kerjasama. Minggu ini menyaksikan lebih daripada 20 buah universiti dan agensi menyertai pameran bagi menonjolkan kecemerlangan pendidikan tinggi negara.
Kita turut memperkenalkan Edutourism Gateway iaitu sebuah gerbang digital untuk pelajar antarabangsa mengikuti model pembelajaran yang digabungkan dengan pelancongan, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terkemuka dunia.
Malaysia merupakan destinasi pengajian pilihan bagi pelajar antarabangsa berdasarkan beberapa faktor utama seperti program pengajian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, kecemerlangan IPT dengan penarafan global, kos pengajian dan sara hidup yang berpatutan, jaminan keselamatan, serta keunikan masyarakat majmuk yang harmoni.
Sepanjang penganjuran Minggu Pendidikan Tinggi ini, pelbagai aktiviti interaktif, perkhidmatan, pameran inovasi dan penyelidikan, sesi perkongsian, pemeteraian kerjasama strategik dan promosi telah dirangka dengan penglibatan agensi-agensi di bawah KPT termasuk IPT awam dan swasta.
Penyertaan Malaysia dalam Ekspo 2025 Osaka yang menghimpunkan lebih 150 buah negara ini diyakini mampu menjana peluang kerjasama strategik baharu dalam ekosistem pendidikan tinggi negara bagi menekankan nilai daya cipta, keterjaminan dan keyakinan dalam melahirkan bakat terbaik untuk masa depan negara. – UTUSAN
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI










