Untung bersih Sime Darby Plantation melonjak 28% - Utusan Malaysia

Untung bersih Sime Darby Plantation melonjak 28%

Menurut syarikat itu, hasil bagi tempoh itu juga meningkat 19 peratus kepada RM4.38 bilion berbanding RM3.67 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Plantation Berhad mencatatkan untung bersih sebanyak RM718 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022, meningkat 28 peratus daripada RM562 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.

Menurut syarikat itu, hasil bagi tempoh itu juga meningkat 19 peratus kepada RM4.38 bilion berbanding RM3.67 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Berikutan prestasi cemerlang pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, kumpulan terus mempamerkan pencapaian kukuh pada suku pertama ini susulan harga minyak sawit mentah dan isirung kekal memberangsangkan.

Harga purata direalisasikan minyak sawit mentah pada suku pertama 2022, berlegar pada purata RM4,465 satu tan metrik, meningkat 40 peratus tahun ke tahun berbanding RM3,185 setiap tan, manakala purata isirung meningkat 84 peratus kepada RM4,105 daripada RM2,230 setiap tan.

Purata harga yang direalisasikan lebih tinggi mengimbangi pengeluaran buah tandan segar (BTS) yang lebih rendah kerana syarikat terus terjejas akibat masalah kekurangan buruh yang berpanjangan dalam industri minyak sawit negara.

Pada masa yang sama, kumpulan turut mengalami penurunan BTS daripada ladang Indonesia apabila pengeluaran kembali normal daripada paras tinggi yang direkodkan pada suku pertama 2021.

Sementara itu, Sime Darby Oils merekodkan kenaikan 23 peratus bagi keuntungan sebelum cukai dan faedah (PBIT) sebanyak RM132 juta pada suku pertama 2022 berbanding RM107 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Peningkatan itu disebabkan terutamanya margin yang lebih tinggi direkodkan daripada operasi pukal Asia Pasifik yang sebahagiannya mengurangkan volum jualan dan margin lebih rendah dalam perbezaan operasi Asia Pasifik dan Eropah.

Pengerusi Sime Darby Plantation, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, kumpulan telah memulakan tahun kewangan dengan keputusan yang kukuh berikutan harga komoditi yang tinggi disebabkan gangguan rantaian bekalan secara berterusan.

“Memandangkan minyak sawit memainkan peranan penting dalam memenuhi permintaan minyak sayur-sayuran di pasaran global, saya yakin kumpulan akan dapat memanfaatkan peluang semasa dan terus memberikan prestasi memberangsangkan pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Bercakap mengenai prospek kumpulan, Pengarah Urusannya, Mohamed Helmy Othman Basha berkata, walaupun permintaan minyak sawit mungkin dipengaruhi dengan kenaikan harga semasa, ia akan dikurangkan oleh bekalan yang ketat dan ketersediaan minyak sayuran alternatif serta gangguan rantaian bekalan yang disebabkan konflik Rusia dan Ukraine.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan pengeluaran BTS keseluruhan yang lebih rendah berbanding tahun kewangan 2021, kerana pengambilan pekerja asing baharu untuk industri perladangan hanya dijangka tiba pada separuh kedua tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya