PETALING JAYA: Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) kira-kira RM56 juta dan hasil kira-kira RM433.2 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 (Q12022), berbanding RM56.2 juta dan RM413.3 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Kumpulan memperoleh kira-kira RM450 juta jualan hartanah baharu pada suku dilaporkan.
Ia didorong oleh kadar pengambilan yang kukuh untuk penawaran produk mampu milik di lokasi strategik dengan pasaran tawanan yang besar, dan ciri yang direka dengan baik, selaras dengan permintaan pasaran semasa.
“Projek-projek Kumpulan terus mencatatkan lantunan semula dalam momentum jualan apabila pembukaan semula sempadan Malaysia dan peralihan kepada fasa endemik mendorong pemulihan dalam aktiviti ekonomi.
“Mah Sing telah merancang lebih banyak pelancaran dari suku kedua dan seterusnya, ditambah dengan kempen pemasaran yang betul dan usaha pemasaran digital oleh Kumpulan, Mah Sing berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi sasaran jualannya sebanyak RM2 bilion,” kata syarikat itu dalam kenyataan.
Menurut pemaju hartanah itu, kumpulan merekodkan kadar ambilan yang baik bagi pembangunan Siri M mampu milik Mah Sing meliputi kedua-dua hartanah bertanah di kawasan pinggir bandar dan hartanah bertingkat tinggi di pusat bandar Kuala Lumpur.
Selain itu, jelasnya, Kumpulan menyaksikan pembelian yang menggalakkan untuk Siri M dengan harga mampu milik di Greater Kuala Lumpur.
“Kumpulan menantikan pelancaran M Astra yang akan datang (berharga daripada RM399,000) di Setapak, dan M Nova (harga daripada RM318,000) di Kepong untuk potensi limpahan permintaan daripada M Adora dan M Luna,” katanya.
Mengulas pencapaian itu, Pengasas dan Penagrah Urusan Kumpulan, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, kadar ambilan yang baik meningkatkan keyakinan Kumpulan untuk terus menawarkan hartanah kediaman yang serupa kepada pasaran.
“Kami sentiasa mencari tanah pada harga menarik yang boleh mengulangi kejayaan pembangunan kediaman kami, Siri M. Kami juga terbuka kepada lokasi seperti Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor, Seremban, Melaka, dan Perak jika dapat mencari tanah yang baik dan sesuai dengan model perniagaan kami,” katanya.
Dengan kunci kira-kira yang kukuh berjumlah kira-kira RM1.01 bilion, Mah Sing merancang pemilikan kosong (VP) lebih 4,000 unit siap pada tahun ini.
Selain VP, yang akan menjana aliran tunai ketara, Mah Sing mengekalkan kunci kira-kira yang kukuh, dengan tunai dan baki bank serta pelaburan dana jangka pendek kira-kira RM1.01 bilion. Jualan belum dibil Kumpulan kira-kira RM2.03 bilion setakat 31 Mac 2022 menyediakan hasil jangka terdekat, dan penggearan kira-kira 0.33 kali. – UTUSAN










