PETALING JAYA: Envictus International Holdings Limited dijangka akan melabur sekurang-kurangnya RM230 juta bagi membuka 115 restoran Texas Chicken baharu menjelang 2030, termasuk penyertaan sulungnya ke dalam pasaran Sabah dan Sarawak.
Pelaburan itu bakal dibuat susulan keputusan syarikat berkenaan memperbaharui Perjanjian Francais Berbilang Unit Antarabangsa dengan Cajun Global LLC yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) untuk membangun dan mengendalikan restoran Texas Chicken di Malaysia dan Brunei, berkuat kuasa 20 Mei lalu.
Jelas syarikat itu, kali pertama kumpulan Envictus dianugerahkan hak francais untuk rangkaian restoran perkhidmatan pantas (QSR) terkenal itu adalah pada Julai 2012, dan telah melancarkan restoran Texas Chicken pertama di Malaysia pada Januari 2013, menerusi anak syarikat milik penuhnya, Texas Chicken (Malaysia) Sdn. Bhd.
“Setakat ini, syarikat itu memiliki dan mengendalikan 85 restoran di seluruh Semenanjung Malaysia, melepasi komitmen awalnya untuk membuka 80 restoran dalam tempoh 10 tahun pertamanya,” jelasnya dalam kenyataan.
Hampir 60 peratus restoran Texas Chicken tertumpu di Lembah Klang, dan lebih separuh daripadanya terletak di dalam pusat membeli-belah utama di seluruh negara.
Pengerusi Eksekutif Envictus International Holdings, Datuk Jaya Tan berkata, pembaharuan perjanjian francais itu adalah bukti keyakinan Cajun Global terhadap kepimpinan dan keupayaan kumpulan Envictus dalam mengembangkan dan membangunkan jenama Texas Chicken di Malaysia.
“Dalam tempoh yang agak singkat, kami telah berjaya mengukuhkan kedudukan Texas Chicken sebagai salah satu rangkaian QSR hidangan ayam terkemuka di negara ini. Kami berbesar hati kerana diberi kepercayaan dan peluang untuk terus merealisasikan potensi jenama hebat ini sambil kami berusaha untuk membawanya ke satu tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Cajun Global, Joe Christina pula berkata, sebagai satu daripada francaisi terbesar syarikat di Asia Tenggara, Envictus merupakan rakan usaha sama sejati dalam kerjasama Cajun Global untuk mengembangkan jenama Texas Chicken.
“Kami gembira kerana kerjasama ini akan terus berkembang maju di Malaysia dan tidak lama lagi di Brunei,” katanya.
Kumpulan Envictus telah dianugerahkan dengan anugerah ‘Pemaju Terbaik’ pada 2019 oleh Cajun Global sebagai pengiktirafan ke atas komitmennya dalam mengembangkan jenama Texas Chicken di Malaysia.
Selain itu, Texas Chicken Malaysia turut menerima anugerah Perak dalam kategori “Restoran & Makanan Segera” pada Anugerah Jenama Putra 2020 dan 2021 yang mengukuhkan lagi reputasinya sebagai antara jenama pilihan pengguna di negara ini. – UTUSAN










