Kemasukan pekerja asing bantu tingkat pengeluaran minyak sawit negara - Utusan Malaysia

Kemasukan pekerja asing bantu tingkat pengeluaran minyak sawit negara

Gambar hiasan - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) menggesa kerajaan mempercepatkan kelulusan penuh kemasukan pekerja asing supaya industri boleh menyahut seruan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi untuk meningkatkan pengeluaran minyak sawit tahun ini.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Mohd. Nageeb Abdul Wahab berkata, proses kelulusan penuh itu boleh dipercepatkan dan diharap dapat diselesaikan pada minggu depan.

“Selepas diluluskan sepenuhnya, proses pengambilan akan mengambil masa sebulan, jadi kami berharap kebanyakan pekerja asing sudah mula masuk pada Jun atau Julai ini kerana kami telah lama berdepan dengan masalah kekurangan pekerja.

“Syarat-syarat yang diberikan oleh negara sumber untuk membenarkan pekerja-pekerja itu bekerja di Malaysia juga mendatangkan masalah kepada kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Untuk jangka panjang, Mohd. Nageeb menegaskan, pihaknya sedang giat mendapatkan teknologi automasi yang boleh mengurangkan keperluan pekerja di dalam ladang.

Jelasnya, pihaknya turut merancang untuk membina teknologi yang boleh menarik perhatian pekerja tempatan dengan menawarkan gaji yang lumayan.

“Pekerja asing semakin susah untuk didapatkan, dicampur dengan masalah buruh paksa yang telah menjadi satu beban kepada negara.

“Justeru, rancangan kami dalam masa lima tahun untuk mengurangkan separuh kebergantungan kepada pekerja asing melalui teknologi dan menarik pekerja tempatan untuk bekerja di ladang,” katanya.

Mengulas mengenai Penubuhan Jawatankuasa Dakwaan Buruh Paksa oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS), beliau berpendapat ia akan membantu menyelesaikan isu berbangkit berkaitan komoditi negara.

Selain itu, beliau turut menekankan, kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif bagi memantau dan mencegah buruh paksa dengan terus komited untuk menghapuskan kegiatan itu melalui ratifikasi Konvensyen Asas Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) No. 29 (Buruh Paksa) dan Konvensyen No.182 (Worst Forms of Child Labour).

“Inisiatif itu dilaksanakan bagi memastikan tiada lagi isu berkaitan buruh paksa. Kita sebagai peladang, harus patuhi semua arahan itu,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya mengalu-alukan keputusan CBP untuk Penubuhan Jawatankuasa Dakwaan Buruh Paksa.

Ujarnya, pihaknya akan melakukan perkara susulan lebih dekat dengan pihak berkuasa AS demi mencari penyelesaian segera berhubung perkara berkenaan semasa lawatan kerjanya ke negara berkenaan bermula 11 Mei lalu.

Malah katanya, beliau juga akan mengadakan beberapa mesyuarat penting dan yakin resolusi yang baik boleh dicapai dalam tempoh terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya