PETALING JAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menerima 26 aduan daripada pengadu-pengadu berkenaan skim pelaburan dengan kerugian dianggarkan sebanyak lebih RM2.3 juta.
Difahamkan, pelaburan membabitkan 10 jenis skim jenayah pelaburan terancang ditawarkan oleh sebuah koperasi.
Setiausaha Kerja MHO, Izzat Izzuddin Idris berkata, konsep pelaburan yang ditawarkan adalah dengan memberikan pinjaman tanpa cagaran kepada syarikat-syarikat sendirian berhad yang tidak dimiliki oleh koperasi tersebut.
Katanya, koperasi itu menganjurkan 10 jenis skim pelaburan yang pelbagai untuk mengelirukan mangsa-mangsa.
Jelasnya, syarikat sendirian berhad tersebut merupakan pelaksana projek-projek bagi pelaburan yang ditawarkan oleh koperasi berkenaan.
“Konsep atau modus operandi yang dilakukan oleh koperasi itu adalah mereka akan mencari pelanggan-pelanggan yang berminat untuk menjadi ahli, dan juga berminat untuk mendapatkan pendapatan sampingan.
“Setelah itu, pihak koperasi akan menawarkan pelbagai bentuk pelaburan yang diberikan bertujuan untuk mengelirukan pelanggan- pelanggan di mana pelaburan tersebut dikuasai sepenuhnya oleh ahli lembaga koperasi itu,” katanya dalam kenyataan.
Izzat berkata, pengadu-pengadu telah membuat laporan polis berkenaan penipuan tersebut.
“Namun, tiada maklum balas berkenaan siasatan susulan laporan yang telah mereka buat,” katanya.
Beliau sehubungan itu meminta pihak berkuasa lebih agresif menangani kes-kes penipuan pelaburan.
“Sesuatu perjanjian pelaburan atau perjanjian perniagaan tidak mudah digunakan sebagai alasan untuk melepaskan diri daripada tindakan perundangan jenayah,” katanya.
MHO adalah sebuah organisasi yang diasaskan atas dasar ingin membantu menegakkan hak-hak kemanusiaan.
MHO telah ditubuhkan sejak tahun 2016 dan komited memperjuangkan hak-hak asasi manusia melalui aktiviti-aktiviti bantuan kemanusiaan bagi membantu semua pihak dalam aspek program kemanusiaan dan khidmat guaman. – UTUSAN










