GEORGE TOWN : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjemput pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kesihatan untuk berunding dengan pihak berkepentingan bagi memberikan pandangan mereka mengenai cadangan memansuhkan lesen 24 jam untuk kedai makan dan restoran.
Presiden CAP, Mohideen Abd. Kader berkata, memansuhkan lesen 24 jam tidak bermakna pemilik perlu menutup restoran dan kedai makan mereka.
“Apa yang kami gesa cuma melibatkan kawalan waktu operasi mereka bagi mengelakkan daripada berlakunya tabiat makan lewat malam,” katanya di sini, hari ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini memaklumkan bahawa mereka akan memperhalusi cadangan CAP yang menggesa larangan pengoperasian selama 24 untuk kedai bagi membantu mengurangkan masalah kesihatan dan obesiti di negara ini.
Menurut Dr. Dzulkefly, pihaknya perlu mengadakan sesi libat urus bersama semua pemegang taruh terlebih dahulu bagi memastikan isu itu dapat dikaji secara menyeluruh, dengan syor penyelesaian yang mempunyai hala tuju jelas.
Dalam pada itu, Mohideen berkata, walaupun memendekkan waktu operasi restoran, ia tidak akan menyelesaikan sepenuhnya isu penyakit tidak berjangkit (NCD) di Malaysia, namun, ia akan mengurangkan jumlah mereka yang makan lewat malam.
“Hujah bahawa kedai makanan 24 jam mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia adalah satu isu yang mengelirukan.
“Kebanyakan daripada mereka (pemilik restoran) menggaji buruh asing yang murah dan ia mempunyai kesan kepada tahap gaji pekerja kita. Itulah sebabnya pekerja kita mencari pekerjaan di luar negara,” katanya.
Dalam pada itu, kata Mohideen, walaupun berunding dengan pihak berkepentingan adalah langkah yang baik, pertimbangan utama dalam membuat keputusan itu perlulah bertujuan melindungi kesihatan masyarakat Malaysia.
“Kajian menunjukkan bahawa makan berat pada lewat malam akan menjejaskan sistem tubuh badan yang mengawal hormon tidur dan kelaparan.
“Satu kajian baharu oleh penyiasat Sekolah Perubatan Harvard (HMS) di Brigham dan Hospital Wanita mendapati bahawa apabila kita makan ia memberi kesan ketara kepada penggunaan tenaga, selera makan dan laluan molekul kita dalam tisu adipos.
“Kajian juga mendapati bahawa makan empat jam kemudian memberi perbezaan yang ketara untuk tahap kelaparan, cara membakar kalori selepas makan, dan cara menyimpan lemak di dalam tubuh kita,”katanya.-UTUSAN










