200 pelajar Universiti Malaya tuntut penjelasan dalam tempoh 24 jam

200 pelajar Universiti Malaya tuntut penjelasan dalam tempoh 24 jam

Lebih 200 pelajar Universiti Malaya (UM) berhimpun sebagai tanda bantahan tindakan pengurusan institusi tersebut menjemput pensyarah pro-Israel sebagai penceramah jemputan baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebih 200 pelajar Universiti Malaya (UM) berhimpun sebagai tanda bantahan  tindakan pengurusan institusi tersebut menjemput pensyarah pro-Israel sebagai penceramah jemputan baru-baru ini.

Presiden Neo-Siswa UM, Muhammad Alif Haiqal Amran berkata, perhimpunan itu diadakan bertujuan menuntut penjelasan daripada pihak pentadbiran dalam tempoh 24 jam.

Katanya, UM perlu mengenakan tindakan tegas terhadap pihak penganjur yang terlibat dalam program Research Methodology For Postgraduate Students itu.

“Kami sesekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menimbulkan provokasi sekali gus mengacau-bilaukan universiti tercinta kami ini.

“Kami juga ingin menzahirkan rasa kecewa dan kesal terhadap pihak UM yang dilihat tidak tegas dengan isu yang berlaku. Tiada sebarang tindakan tatatertib terhadap pihak tersebut melainkan sekadar permohonan maaf,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan tersebut di pekarangan Dewan Tunku Canselor UM di sini, hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, pelbagai pihak menyifatkan tuduhan seorang pensyarah warga Amerika Syarikat (AS), Bruce Gilley bahawa ahli politik Malaysia mengga­lakkan holocaust kedua ketika memberikan syarahan di UM sebagai biadap dan bersifat songsang.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Mahasiswa UM (KMUM), Nur Nazirah Abdullah berkata, pihaknya akan melakukan langkah seterusnya selepas notis 24 jam diberikan sekiranya pihak pentadbiran UM tidak memberi penjelasan berhubung isu tersebut.

“Saya tidak teragak-agak untuk mengajak rakan-rakan UM untuk memboikot, tidak hadir ke kelas khususnya yang terbabit. Saya rasa ini bukan kesilapan sebaliknya suatu yang disengajakan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN