KDNK suku pertama dijangka 1.1-1.5 peratus - Utusan Malaysia

KDNK suku pertama dijangka 1.1-1.5 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis mengunjurkan ekonomi negara tumbuh di antara 1.1 hingga 1.5 peratus bagi suku pertama 2022, selepas mengambil kira keadaan semasa penularan Covid-19 dan krisis Rusia-Ukraine.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pemulihan ekonomi telah terencat disebabkan perang Rusia-Ukraine yang bermula akhir Februari lalu, dan secara tidak langsung menjejaskan harga komoditi dunia terutamanya minyak mentah yg melepasi AS$100 setong. 

Ujarnya, ini memberi kesan sepenuhnya kepada dunia dan juga Malaysia dengan kadar inflasi yang tinggi.

“Pembukaan sempadan antarabangsa Malaysia hanya bermula pada hujung Mac lalu dengan penerimaan pelancong dari negara jiran, Singapura dan diikuti sepenuhnya oleh negara-negara lain. 

“Oleh itu, kesannya kepada negara hanya akan dilihat lebih jelas pada suku kedua nanti, terutama industri pelancongan yang mula menerima pelancong luar negara secara besar-besaran,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengumumkan kadar KDNK negara bagi suku pertama 2022.

Pada suku keempat 2021, KDNK negara meningkat sebanyak 3.6 peratus berbanding penguncupan sebanyak 3.4 peratus dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Bagi prestasi suku pertama 2021 pula, negara mencatatkan KDNK -0.5 peratus iaitu penguncupan yang jauh lebih kecil berbanding -3.4 peratus pada suku keempat 2020, sekali gus mencerminkan prestasi ekonomi yang memberangsangkan dan menuju ke arah pemulihan, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut.

Sementara itu, Penganalisis Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berpendapat, pertumbuhan KDNK lazimnya dilihat berdasarkan pertumbuhan suku pertama 2022 berbanding suku sebelumnya, iaitu suku keempat 2021.

“Dari sudut ini, melihat kepada petunjuk semasa pada tiga bulan pertama 2022, dijangkakan KDNK bertumbuh sekitar 1.5 peratus dengan mengambil kira kerancakan sektor ekonomi yang lebih baik, didorong oleh permintaan sektor eksport.

“Jika dilihat dari prestasi tahun ke tahun, pada suku pertama 2021 kita masih dalam keadaan aktiviti ekonomi yang agak malap dan suram, maka pertumbuhan tahunan saya jangkakan berada sekitar enam peratus,” ujarnya.

Tambah beliau, apa yang lebih menarik, pertumbuhan pada suku kedua 2022 yang merangkumi April, Mei dan Jun dijangka memberangsangkan didorong oleh pelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dan pembukaan hampir semua sektor ekonomi.

“Sektor peruncitan juga bertambah rancak disebabkan musim perayaan, ditambah peningkatan permintaan domestik akibat pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sekali gus dijangka bakal mencatat pertumbuhan yang amat menarik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya