PETALING JAYA: Sempena bulan Ramadan, pengeluar kereta nasional Proton mengedarkan 3,000 pek bubur lambuk kepada petugas barisan hadapan yang terdiri daripada polis, petugas perubatan dan bomba serta kakitangan Proton di Subang Jaya dan Shah Alam.
Inisiatif itu merupakan hasil kerjasama antara Kelab Media Prima dan Kelab Proton, di mana ahli-ahli Kelab bersama memasak dan membungkus hidangan di Ibu pejabat Proton di Shah Alam sebelum keluar untuk mengedarkannya di beberapa lokasi.
Memasak dan mengedarkan bubur lambuk pada bulan Ramadan merupakan aktiviti tahunan syarikat dan pekerjanya, tetapi ia telah ditangguhkan sejak dua tahun lalu akibat Covid-19.
Peluang untuk menghidupkan semula tradisi itu muncul apabila Malaysia melangkah ke peringkat endemik pada 1 April.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, bubur lambuk adalah hidangan yang menandakan bulan Ramadan di Malaysia dan melambangkan semangat perkongsian pada bulan yang mulia ini.
“Sudah menjadi tradisi tahunan bagi kakitangan Proton untuk memasak dan berkongsi hidangan ini dengan rakan sekerja mereka.
“Selepas dua tahun kami ketepikan tradisi ini, kami membuat keputusan untuk meluaskan jaringan perkongsian kami dengan mengedarkan bubur lambuk kepada petugas barisan hadapan di masyarakat tempatan di kawasan Shah Alam dan Subang Jaya sebagai tanda penghargaan kami kepada sumbangan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Ujarnya, tahun ini, rakyat Malaysia juga berpeluang untuk balik kampung untuk menyambut Hari Raya selepas dua tahun.
Roslan berkata, memandangkan perjalanan akan mengambil masa yang panjang berikutan kesesakan lalu lintas, syarikat ingin mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya memandu dengan cermat dan memastikan kenderaan mereka telah diservis sebelum perjalanan.
“Kami menggalakkan semua pemilik kenderaan Proton untuk membuat temu janji dengan pusat servis sebelum memulakan perjalanan cuti hari raya mereka sekiranya kenderaan mereka perlu diservis.
“Baru-baru ini, dengan peningkatan stok untuk 22 jenis alat ganti yang bergerak pantas di pusat 3S/4S kami, Proton bersedia untuk membantu memastikan perjalanan yang selamat ke kampung halaman pelanggan kami,” katanya. – UTUSAN










