BNM, Bank Dunia terbit laporan penerokaan risiko kewangan

BNM, Bank Dunia nilai risiko kewangan berkaitan alam semula jadi

BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi dalam usaha mengekang kenaikan inflasi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Dunia menerbitkan laporan bertajuk `Penerokaan Risiko Kewangan Berkaitan Alam Semula Jadi di Malaysia.’

Kajian awal yang dijalankan oleh BNM bersama Bank Dunia itu menggunakan data tempatan serta global untuk mengkaji hubungan antara sektor kewangan Malaysia dengan alam semula jadi.

Kajian itu juga menilai potensi dedahan kepada risiko berkaitan alam semula jadi melalui aktiviti pembiayaan mereka.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, ekosistem dan kesihatan planet penting bagi kestabilan ekonomi dan kewangan.

“Walaupun pada dasarnya tanggungjawab menangani keutamaan ini terletak pada kerajaan, industri dan pihak berkuasa kewangan mempunyai kepentingan yang besar dalam meningkatkan pemahaman dan penghayatan kita terhadap interaksi antara risiko berkaitan iklim dengan alam semula jadi kerana cara risiko ini berkembang mempengaruhi dan dipengaruhi oleh tindakan institusi kewangan,” katanya dalam kenyataan sempena pelancaran laporan tersebut.

Sementara itu, Pengarah Negara Bank Dunia bagi Brunei, Malaysia, Filipina dan Thailand, Ndiame Diop berkata, dengan mengenal pasti dan mengukut risiko kewangan berkaitan alam semula jadi, pihak berkuasa akan berada pada kedudukan lebih baik untuk mengutamakan inisiatif dalam skop mandat mereka bagi menguruskan kebimbangan tersebut.

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia bagi menyokong kepimpinan mereka dalam isu ini. Laporan ini adalah yang pertama seumpamanya diterbitkan oleh sebuah bank pusat di Asia. Kami berharap usaha ini akan menjadi contoh kepada negara lain yang menghadapi cabaran yang serupa,’ tambah Ndiame.

Menurut BNM, laporan itu menjadi pencetus kepada kajian lanjut mengenai risiko berkaitan alam semula jadi serta menyerlahkan peri pentingnya usaha menangani kemusnahan alam semula jadi dan perubahan iklim secara koheren.

Laporan itu juga mengiktiraf peluang untuk memanfaatkan kemajuan yang dicapai berhubung dengan inisiatif iklim untuk menangani risiko berkaitan alam semula jadi yang lebih luas.

“Bank Negara akan terus berbincang dan berinteraksi dengan sektor kewangan dan pihak-pihak berkepentingan utama lain bagi membina keupayaan dalam bidang ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN