PETALING JAYA: Mondelēz International, pengeluar jenama ikonik seperti Cadbury Dairy Milk, Oreo, Jacob’s, Chipsmore dan Twisties mengumumkan pelantikan Narmeen Khan sebagai Pengarah Urusan untuk Malaysia dan Singapura.
Beliau akan bertanggungjawab terhadap pertumbuhan dan kecemerlangan operasi perniagaan di kedua-dua pasaran berkenaan.
Menurut Mondelēz, Narmeen telah berkhidmat selama 17 tahun di Mondelēz International, dan pernah menyandang beberapa jawatan kanan dan peranan kepimpinan di Pakistan serta Dubai.
“Sebelum ini, beliau merupakan Pengarah Urusan Mondelēz Pakistan yang telah memimpin pemulihan perniagaan dan pertumbuhan cemerlang di Pakistan sepanjang tempoh tiga tahun
lalu.
“Sepanjang memegang jawatan kanan, beliau turut memainkan peranan penting dalam membangunkan kategori coklat di Pakistan yang akhirnya berjaya melonjakkan kedudukan Cadbury Dairy Milk sebagai peneraju pasaran di negara berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Syarikat itu berkata, Narmeen yang menggantikan bekas Pengarah Urusan James Kane, akan berpangkalan di Kuala Lumpur dan bekerjasama dengan pasukan yang profesional, bersemangat tinggi dan komited untuk menerajui masa hadapan snek.
Katanya, pelantikan Narmeen juga menonjolkan budaya kepelbagaian bakat serta keupayaan syarikat dalam memupuk pemimpin dari dalaman.
Sementara itu, Narmeen berkata, Mondelēz telah membina asas kukuh dalam kedua-dua pasaran ini sebagai peneraju kategori, majikan pilihan ramai, serta penyumbang penting kepada inovasi global dan rantaian bekalan.
“Saya teruja kerana berpeluang mengembangkan asas-asas ini di samping membawa perspektif baharu untuk memacu pertumbuhan serta melestarikan kemajuan kami dari segi tanggungjawab alam sekitar, sosial dan tadbir urus kami,” katanya. – UTUSAN










