MUMBAI: India mengurangkan cukai ke atas import minyak sawit mentah (MSM) kepada 5 peratus daripada 7.5 peratus, kata kerajaan dalam satu pemberitahuan.
Langkah itu dibuat ketika India, pengimport minyak makan terbesar dunia cuba mengekang harga komoditi itu di pasaran tempatan dan usaha membantu penapis domestik serta pengguna.
Pengurangan cukai dikenali sebagai Ses Infrastruktur dan Pembangunan Pertanian (AIDC), akan melebarkan jurang antara MSM dan duti import minyak sawit ditapis, menjadikannya lebih murah bagi penapis India untuk mengimport MSM, kata pegawai industri kepada Reuters.
Pemotongan cukai itu berkuat kuasa pada Ahad, 13 Februari.
“Selepas pengurangan AIDC, perbezaan cukai import antara MSM dan minyak sawit ditapis akan melebar kepada 8.25 peratus.
“Ini akan membantu penapis India, tetapi kerajaan perlu meningkatkan lagi perbezaan kepada 11 peratus untuk menggalakkan penapisan tempatan.” kata Pengarah Eksekutif Persatuan Pengekstrak Pelarut India, BV Mehta, yang berpengkalan di sini.
Dalam pemberitahuan berasingan, kerajaan juga berkata, ia akan melanjutkan pengurangan duti asas kastam berasingan ke atas minyak makan sehingga 30 September. Pengurangan cukai itu sepatutnya tamat pada 31 Mac.
India mengimport lebih dua pertiga daripada keperluan minyak makannya dan telah bergelut untuk mengawal kenaikan harga minyak tempatan sejak beberapa bulan lalu.
Negara ini mengimport komoditi itu terutamanya daripada pengeluar utama iaitu Indonesia dan Malaysia, manakala minyak lain, seperti soya dan bunga matahari, dari Argentina, Brazil, Ukraine dan Rusia.
Import minyak sawit ditapis menyumbang hampir separuh daripada jumlah import minyak sawit India dalam beberapa bulan lalu, kata Ketua Eksekutif Sunvin Group, Sandeep Bajoria, firma pembrokeran dan perundingan minyak sayuran firma pembrokeran dan perundingan minyak sayuran.
Penapis India telah meminta New Delhi mengubah struktur duti import kerana pembelian minyak sawit ditapis di luar negara adalah lebih murah berbanding MSM disebabkan cukai yang lebih tinggi dikenakan oleh negara pengeluar ke atas eksport MSM. – AGENSI










