Yayasan AirAsia tawar geran pemulihan banjir - Utusan Malaysia

Yayasan AirAsia tawar geran pemulihan banjir

KRU kabin AirAsia mengutip sumbangan kempen Bantuan Banjir Malaysia oleh Yayasan AirAsia di dalam penerbangan AirAsia baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yayasan AirAsia menjemput organisasi bantuan dan pemulihan untuk memohon geran menerusi kempen Bantuan Banjir Malaysia yang telah dilancarkan baru-baru ini bagi membantu membiayai projek pemulihan di kawasan terjejas akibat banjir.

Menurut yayasan itu, organisasi yang layak memohon adalah organisasi bukan keuntungan berdaftar dengan rekod prestasi yang baik dari segi bantuan dan pemulihan pasca bencana.

Jelasnya, proses pemilihan akan mengutamakan cadangan untuk baik pulih infrastruktur yang rosak seperti balai raya, sekolah, klinik, jambatan atau kemudahan sanitasi.

“Organisasi yang ingin menjalankan program kesiapsiagaan bencana dijemput untuk memohon geran ini,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, sejak 23 Disember 2021, Yayasan AirAsia dan BigPay telah bersama-sama mengumpul dana untuk membantu komuniti yang terjejas.

Setakat ini, kempen tersebut telah berjaya mengumpul lebih RM400,000 menerusi kutipan sumbangan di dalam penerbangan dan melalui aplikasi BigPay, serta daripada tempahan airasia ride dan airasia food yang diterima antara 23 dan 31 Disember 2021.

“Memandangkan sambutan yang menggalakkan terhadap kempen tersebut, Yayasan AirAsia akan melanjutkan kutipan derma di dalam penerbangan selama dua minggu dari 9 Januari kepada 23 Januari 2022,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Yayasan AirAsia, Yap Mun Ching berkata, pihaknya amat terharu dengan kemurahan hati para tetamu AirAsia yang terus menyokong kempen tersebut.

“Memandangkan cuaca masih tidak menentu di mana hujan lebat terus menyebabkan banjir teruk di kawasan lain di negara ini, kami ingin melanjutkan tempoh derma untuk membantu lebih ramai komuniti yang memerlukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN