TNB, UTHM jalin kerjasama pintar - Utusan Malaysia

TNB, UTHM jalin kerjasama pintar

NORAINI Ahmad dan Megat Jalaluddin Megat Hassan (belakang, tiga dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama antara GSPARX dan UTHM, di Johor, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Libatkan projek solar kurangkan jejak karbon

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, GSPARX Sdn. Bhd. (GSPARX) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjalin kerjasama pintar dalam bidang tenaga boleh baharu (RE), khususnya tenaga solar.

Kerjasama itu melalui pemasangan solar bumbung, penyelidikan dan latihan bersama Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) UTHM.

Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, TNB sedia menyumbang kepakaran dalam bidang tenaga solar menerusi GSPARX bagi membantu UTHM dalam penyelidikan dan latihan berkaitan sistem solar fotovoltaik.

Bagi tujuan tersebut, katanya, GSPARX telah melaksanakan pemasangan sistem solar di UTHM Kampus Parit Raja melibatkan 25 bangunan termasuk laluan pejalan kaki dan pakir solar.

Jelasnya, pemasangan itu ­telah beroperasi sejak 12 November 2021 dan tidak melibatkan sebarang modal kepada UTHM.

“TNB sedia menyumbang kepakaran dalam bidang tenaga solar menerusi GSPARX bagi membantu UTHM dalam penyelidikan dan latihan berkaitan sistem solar fotovoltaik sementara mencapai aspirasi TNB untuk menjadi pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa,” katanya.

Megat Jalaluddin berkata demikian dalam Majlis Penyerahan MoU Kerjasama Penyelidikan dan Pelancaran Sistem Solar di antara UTHM dan GSPARX di Batu Pahat, Johor pada 19 Disember lalu.

Pertukaran dokumen MOU itu disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Dr. Wahid Razzaly berkata, setakat hari ini UTHM merupakan institut pengajian tinggi awam pertama yang mempunyai pemasangan solar bumbung bangunan terbesar di Malaysia.

“Projek solar bumbung bangunan di kampus induk UTHM yang melibatkan 25 bangunan terpilih dengan kapasiti 6.9MWp ini dijangka dapat menjimatkan RM25.7 juta bil elektrik universiti sepanjang tempoh perjanjian 21 tahun,” katanya.

Inisiatif itu mengurangkan pencemaran udara melalui pengurangan pembebasan karbon dioksida (CO2) kira-kira 6,203 tan metrik setiap tahun.

Jumlah itu bersamaan pengurangan sebanyak 1,359 kenderaan setahun di atas jalan raya atau penanaman 103,293 anak pokok yang dapat bertindak sebagai sinki karbon bagi penyerapan karbon dalam tempoh 10 tahun.

UTHM sebelum ini telah memeterai perjanjian solar melalui skim Perjanjian Pembekalan untuk Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE) dengan GSPARX dan TNB di Kampus UTHM Parit Raja, Johor, pada 29 Januari lalu.

Perjanjian persefahaman (MoU) melibatkan kerjasama dalam penyelidikan dan latihan kepada staf dan pelajar dalam bidang sistem solar fotovoltaik pula dimeterai pada 4 Oktober 2021 lalu.

Sehingga kini, GSPARX telah berjaya memperolehi lebih dari 1000 pelanggan dengan kapasiti solar 116MWp di bawah skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dan kegunaan kendiri (SELCO) menerusi skim SARE dan pembelian terus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN