PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi berpendapat pengekalan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus akan menggalakkan aktiviti perniagaan dan ekonomi kerana berlaku transaksi pertukaran barang.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, itu kerana pengekalan OPR akan menyebabkan kos pembiayaan dan pinjaman kekal rendah.
“Ia sekali gus membolehkan perniagaan dibiayai dengan kos yang rendah dan menggalakkan pengguna untuk membuat pinjaman atas tujuan peribadi, membeli kenderaan dan rumah.
“Sekiranya OPR dikekalkan ketika suasa ekonomi sedang ‘over heating’ iaitu berlaku permintaan yang tinggi dan menyebabkan inflasi, itu akan menyebabkan kadar inflasi meningkat dengan lebih tinggi lagi dan akhirnya ekonomi akan terbantut apabila pengguna dan peniaga tidak mampu lagi membeli barangan dan perkhidmatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia dalam mesyuaratnya kelmarin memutuskan untuk mengekalkan OPR pada 1.75 peratus.
BNM dalam kenyataan berkata, MPC menyifatkan pendirian semasa dasar monetari adalah wajar dan akomodatif.
Katanya, langkah-langkah fiskal dan kewangan akan terus mengurangkan kesan ekonomi terhadap perniagaan dan isi rumah serta memberikan sokongan kepada kegiatan ekonomi.
“Pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data baharu serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri,” katanya. – UTUSAN










