Malaysia catat jumlah dagangan tertinggi RM2.2 trilion - Utusan Malaysia

Malaysia catat jumlah dagangan tertinggi RM2.2 trilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia dalam landasan pemulihan walaupun menghadapi pelbagai cabaran, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, indikator ekonomi utama terkini memperlihatkan prestasi memberangsangkan menunjukkan momentum pemulihan yang berterusan.

Beliau berkata, selari dengan itu, prestasi eksport Malaysia kekal kukuh pada Disember 2021 dengan nilai eksport melebihi RM100 bilion, bulan keempat berturut-turut sejak September 2021, seiring dengan aktiviti ekonomi luaran dan domestik yang menggalakkan.

“Eksport pada Disember 2021 sekali lagi mencatat rekod baharu, mencecah RM123.8 bilion dan berkembang 29.2 peratus, tahun ke tahun. Pada masa yang sama, import juga mencatatkan pertumbuhan kukuh 23.6 peratus kepada RM92.9 bilion berbanding Disember 2020,” katanya dalam kenyataan.

Mohd. Uzir berkata, selaras dengan prestasi kukuh eksport dan import, jumlah dagangan melonjak 26.8 peratus kepada RM216.7 bilion berbanding bulan yang sama 2020, menjadikan jumlah dagangan tertinggi yang pernah direkodkan iaitu RM2.2 trilion pada 2021.

Kata beliau, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 9.4 peratus dipacu oleh kenaikan 11.3 peratus dalam indeks Pembuatan, 5.1 peratus dalam indeks Elektrik dan 3.7 peratus dalam indeks Perlombongan.

Prestasi ini disumbangkan terutamanya oleh permintaan kukuh daripada sektor domestik dan luaran bagi produk pembuatan walaupun menghadapi cabaran kekurangan bekalan dan peningkatan kos pengeluaran, jelasnya.

Mengulas prestasi November 2021, Ketua Perangkawan itu berkata, perdagangan Borong & Runcit pada November 2021 terus memecahkan rekod jualan tertinggi yang dicatatkan pada Oktober 2021 (RM116.2 bilion) untuk mencapai kepada RM118.1 bilion.

“Prestasi memberangsangkan ini disokong oleh harga komoditi yang tinggi, pembukaan semula sektor ekonomi dan kelonggaran aktiviti sosial, termasuk perjalanan rentas negeri,” katanya.

Tambah Mohd. Uzir, Indeks Harga Pengguna (IHP) pada November 2021 menunjukkan inflasi meningkat 3.3 peratus dan melepasi purata inflasi jangka panjang sebanyak 1.6 peratus.

Peningkatan keseluruhan didorong oleh kenaikan indeks bagi lima kumpulan utama iaitu Pengangkutan; Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain; Makanan & Minuman Bukan Alkohol; Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah dan Restoran & Hotel, katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Uzir memberitahu, pasaran buruh meneruskan momentum pemulihannya pada November 2021 dengan bilangan penduduk bekerja terus meningkat bulan ke bulan sebanyak 0.4 peratus kepada 15.61 juta berbanding Oktober sebanyak 15.55 juta orang, manakala perbandingan tahun ke tahun juga meningkat 2.7 peratus (November 2020: 15.20 juta orang).

“Pada masa yang sama, bilangan penganggur berkurang kepada paras di bawah 700,000 orang buat pertama kalinya, mencatatkan bilangan terendah sejak Mac 2020. Bilangan penganggur berkurang kepada 694.4 ribu orang (Oktober 2021: 705.0 ribu orang).

“Kadar pengangguran pada November 2021 tidak berubah pada 4.3 peratus, disebabkan lebih ramai yang berada dalam kumpulan tidak aktif sedang mencari pekerjaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN