Kontrak Abdul Farid sebagai Presiden, CEO Kumpulan Maybank berakhir 1 Ogos 2022 - Utusan Malaysia

Kontrak Abdul Farid sebagai Presiden, CEO Kumpulan Maybank berakhir 1 Ogos 2022

ABDUL FARID ALIAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Maybank mengumumkan bahawa Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya (GPCEO), Datuk Seri Abdul Farid Alias, menyatakan beliau tidak akan memperbaharui kontraknya sebagai GPCEO yang akan tamat pada 1 Ogos 2022.

Menurut Maybank, Abdul Farid yang telah memegang jawatan sebagai GPCEO sejak 2 Ogos 2013 dan telah memaklumkan kepada Lembaga Pengarah bahawa beliau ingin mengikuti minat peribadinya selepas penggal ketiganya berakhir sebagai GPCEO.

Jelasnya, proses untuk mengenal pasti GPCEO baharu telah bermula dan sedang dijalankan, diketuai oleh Lembaga Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan.

Sementara itu, Pengerusi Maybank, Tan Sri Datuk Seri Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, Lembaga Pengarah sedang menjalankan proses semakan dan penilaian secara teliti untuk mengenal pasti pengganti yang sesuai, termasuk menilai calon dalaman dan luaran.

“Pelantikan baharu akan diumumkan sebaik sahaja kami memperoleh kelulusan kawal selia yang diperlukan untuk pelantikan itu.

“Abdul Farid akan terus menyelia pengurusan dan operasi Maybank sehingga penggantinya menyandang jawatan tersebut bagi memastikan peralihan kepimpinan berjalan lancar.

“Walaupun kami kecewa kerana beliau tidak mahu membaharui kontraknya, Lembaga Pengarah menghormati keputusannya.

“Bagi pihak Kumpulan, saya mengucapkan terima kasih di atas sumbangan, perkhidmatan dan komitmen luar biasa beliau dalam membina organisasi berpandangan hadapan yang telah mendahului kebanyakan rakan serantaunya, terutamanya dalam bidang digital dan kemampanan,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Farid, 53, memulakan kerjaya perbankannya di Aseambankers, anak syarikat Kumpulan Maybank pada Januari 1992 sebelum meluaskan pengalamannya bersama syarikat-syarikat seperti Schroders, Malaysia International Merchant Bankers, JP Morgan dan Khazanah Nasional Berhad.

Beliau menyertai semula Maybank pada Januari 2009 dan telah memegang beberapa jawatan perniagaan utama seperti Ketua Perniagaan Antarabangsa dan Timbalan Presiden dan Ketua, Perbankan Global sebelum pelantikannya sebagai GPCEO. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN