PETALING JAYA: Kadar inflasi dijangka terus meningkat tahun ini, dipengaruhi oleh gangguan rantaian nilai hampir semua jenis barangan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bencana banjir yang membawa kepada kenaikan harga barang semasa.
Menurut Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, kenaikan harga barangan tidak dapat dielakkan kerana pengeluar dan penternak terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit apabila tidak dapat memasarkan produk keluaran mereka seperti dahulu.
Jelasnya, mereka juga terpaksa membayar kos overhed termasuk gaji dan sewa dalam cubaan mengekalkan operasi mereka, jadi apabila ekonomi dibuka semula, kerugian yang dialami akan cuba ditebus semula dengan menaikkan harga barang keluaran.
“Ini menyebabkan kesan domino kepada keseluruhan rantaian nilai, ditambah pula dengan kos pengangkutan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang turut meningkatkan kos pengeluaran mereka.
“Selain itu, peningkatan kadar inflasi di seluruh dunia turut memberi kesan kepada Malaysia kerana kita berada dalam rantaian nilai global termasuk barang-barang keluaran Malaysia turut mengalami kenaikan kos,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Terdahulu, Jabatan Perangkaan melaporkan inflasi sebanyak 2.5 peratus bagi 2021 namun kadar tersebut telah mencapai 3.3 peratus pada November dan telah melepasi purata tahunan 1.6 peratus sebelum ini.
Negara jiran seperti Singapura mencatatkan inflasi 3.8 peratus, Filipina (3.6 peratus) dan Amerika Syarikat (7.0 peratus) serta Eropah (5.0 peratus) pada akhir 2021.
Unjuran inflasi Malaysia bagi 2022 adalah pada sekitar 3.0 ke 4.0 peratus.
Aimi Zulhazmi turut berpendapat, kenaikan komoditi utama dunia terutama minyak mentah yang berada di paras lebih AS$90 (RM376.92) setong dan akan terus naik selari dengan pembukaan ekonomi dunia turut menyumbang kepada kenaikan harga barangan dan kadar inflasi negara.
“Walaupun kita masih beruntung kerajaan memberikan subsidi petrol dan diesel untuk sektor pengguna, namun sektor-sektor perindustrian yang menggunakan bahan api tidak bersubsidi menghadapi tekanan kenaikan kos,” ujarnya.
Tambah beliau, tidak dinafikan pelbagai usaha telah dilakukan kerajaan untuk mengurangkan kesan kenaikan inflasi ini seperti memberi subsidi harga minyak masak, barangan kawalan, mengadakan jualan langsung terus kepada pengguna, memperhebat penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Bagaimanapun katanya, langkah-langkah jangka pendek dan panjang perlu diselarikan untuk terus mengawal kenaikan inflasi.
“Dalam keadaan sukar ini juga, terdapat peniaga yang menaikkan harga barang demi keuntungan walaupun tidak terkesan, malah menggunakan alasan harga barangan lain meningkat menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga.
“Perkara-perkara seperti ini juga membuatkan proses pemulihan ekonomi berlaku lebih perlahan sekiranya tidak diatasi segera,” jelasnya. – UTUSAN










